PULAU PINANG 10 Mac – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad diminta campur tangan bagi menyelesaikan isu pengusiran penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis di sini yang terus berlanjutan sehingga kini.
Aktivis politik yang juga bekas ahli DAP, Rahmad Isahak berkata, perhatian secara langsung daripada Kerajaan Pusat itu bagi mendapatkan penyelesaian berdasarkan prinsip kemanusian dan secara menang-menang antara kerajaan negeri dan penduduk terlibat.
Selain itu, katanya, penduduk yang diusir juga perlu memahami mereka tidak lagi layak mendiami rumah berkenaan sekali gus memberi kerjasama terhadap tawaran atau rundingan dikemukakan pihak berkuasa bagi menyelesaikan isu itu segera.
Apatah lagi, jelas beliau, tidak dinafikan terdapat perlanggaran syarat yang menyebabkan beberapa penyewa PPR Taman Manggis hilang kelayakan hingga mereka terpaksa berpindah ke pekarangan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).
“Atas dasar keperitan dan kedaifan ekonomi, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow diharap dapat meleraikan isu dihadapi penyewa yang juga sebahagian daripada pengundi di situ.
“Sebagai Ahli Parlimen Tanjung juga, Kon Yeow perlu bertanggungjawab ke atas nasib pengundi di kawasannya itu berbanding berterusan berpegang kepada faktor hilang kelayakan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sehingga kini, sebanyak enam buah keluarga masih tinggal di pekarangan Komtar sejak diusir dari rumah mereka Rabu lalu dan enggan berpindah selagi tidak mendapat persetujuan tanpa syarat untuk mendiami semula ruma mereka daripada kerajaan negeri.
Mereka adalah sebahagian daripada 22 buah keluarga di PPR Taman Manggis yang diarahkan berpindah selepas didapati tidak lagi layak mendiami rumah berkenaan berdasarkan beberapa syarat. – UTUSAN ONLINE











