KUALA LUMPUR 10 Mac – Jurulatih beregu lelaki negara Paulus Firman menyifatkan pencapaian gandingan Aaron Chia- Soh Wooi Yik pada kejohanan badminton All England 2019 adalah sesuatu yang luar biasa.
Beliau sendiri terkejut dengan prestasi membanggakan dipamerkan pasangan muda negara itu yang pada awalnya disasarkan hanya mara ke suku akhir.
“Sungguh luar biasa kerana sasaran awal saya hanyalah suku akhir,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Pasangan muda ini merupakan beregu lelaki pertama mara ke final All England selepas kali terakhir dilakukan oleh gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada 2007.
Aaron-Wooi Yik kini tinggal selangkah sahaja lagi untuk mencipta sejarah menamatkan kemarau 12 tahun Malaysia muncul juara acara beregu lelaki All England selepas 2007 oleh Kien Keat-Boon Heong.
Pada perlawanan separuh akhir yang berlangsung awal pagi ini waktu Malaysia, Aaron-Yik Soh mengetepikan gandingan Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 12-21, 22-20, 21-19.
Seperti perlawanan suku akhir, gandingan negara terpaksa berhempas-pulas untuk mengheret perlawanan ke set penentuan apabila mereka tewas di set pertama.
Bangkit di set kedua, Aaron-Wooi Yik seperti mendapat suntikan tonik daripada jurulatih, mengatur serangan demi serangan untuk memastikan mereka menguasai set kedua 22-20 sebelum menang di set penentuan 21-19.
“Saya hanya minta agar mereka tetap tenang dan tukar cara serta strategi permainan mereka,” kata jurulatih yang berasal dari Indonesia itu.
Melepasi pusingan pertama menewaskan pemain Taiwan Lu Ching Yao-Yang Po Han, pasangan Aaron-Yik Soh mencipta sejarah tersendiri sehingga digelar ‘pembunuh gergasi’ apabila mengetepikan pilihan kelima dari Denmark Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen untuk mara ke suku akhir.
Mangsa mereka di suku akhir pasangan China, Liu Cheng-Zhang Nan yang terpaksa akur dengan pemain muda negara diikuti pasangan Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto di separuh akhir.
Perlawanan akhir dijadualkan bermula 8 malam waktu Malaysia.- BERNAMA











