KUALA LUMPUR 10 Mac – Dua lelaki warga Singapura antara ditahan kerana memiliki dadah dalam serbuan yang dijalankan di sebuah pusat hiburan di Kompleks Sun, Bukit Bintang, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, serbuan dijalankan pada pukul 2.45 pagi oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur itu membongkar aktiviti penyalahgunaan dadah dalam kalangan pengunjung pusat hiburan tersebut.
Ujarnya, dua lelaki warga Singapura itu merupakan antara 81 pengunjung pusat hiburan yang diperiksa dan mereka ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah.

“Kita menggunakan khidmat Unit Pengesan Anjing (K9) bagi menghidu bau dadah selepas beberapa botol minuman berisi dadah dirampas di pusat hiburan tersebut.
“Air minuman berisi dadah itu ditemukan di dalam sebuah bilik yang didiami empat lelaki termasuk dua warga Singapura bersama empat pelayan pelanggan (GRO) warga China,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Mazlan, sebanyak 37 pengunjung termasuk sembilan wanita juga didapati positif dadah selepas diarah menjalankan ujian air kencing.
“Selain itu, kita juga mendapati pusat hiburan tersebut menyediakan GRO warga asing kepada pengunjung dengan penahanan 15 wanita yang terdiri daripada 10 warga China dan lima warga Vietnam.
“Kesemua tangkapan dibawa ke IPK Kuala Lumpur untuk siasatan dan tindakan lanjut,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE











