Dua warga tempatan antara yang ditahan terlibat kumpulan pengganas - Utusan Malaysia

Dua warga tempatan antara yang ditahan terlibat kumpulan pengganas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Dua warga tempatan merupakan antara sembilan individu yang ditahan kerana disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas dalam beberapa siri operasi oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman di sekitar Lembah Klang dan Sarawak pada 2 hingga 9 Februari lalu.

Kesemua suspek yang ditahan terdiri daripada dua warga tempatan, enam warga Mesir dan seorang warga Tunisia berusia di antara 21 hingga 54 tahun.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, operasi berkenaan dilancarkan setelah pihaknya menerima maklumat risikan daripada beberapa agensi perisikan asing berhubung kehadiran beberapa suspek ‘Foreign Terrorist Fighters’ ke negara ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mereka ini menganggotai kumpulan pengganas Ansar Al-Shariah Al-Tunisia yang merupakan kumpulan gabungan Al-Qaeda dan beroperasi di Utara Afrika.

“Kumpulan ini juga telah disenaraikan sebagai kumpulan pengganas oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan disyaki terlibat dalam rancangan untuk melancarkan serangan berskala besar di beberapa buah negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohamad Fuzi, lima daripada suspek warga Mesir yang ditahan mengaku sebagai ahli Ikhwanul Muslimin yang berperanan sebagai fasilitator dalam menyediakan kemudahan penginapan, pengangkutan, pekerjaan serta membantu membeli tiket penerbangan.

“Tangkapan pertama pada 2 Februari lalu di Serian, Sarawak melibatkan seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan serta seorang lelaki warga Mesir berusia 20 hingga 54 tahun kerana menyembunyikan maklumat berhubung kehadiran operatif Ansar Al-Shariah Al-Tunisia yang transit di Malaysia, melindungi serta menyediakan keperluan untuk mereka.

“Seterusnya, seorang lelaki warga Mesir berusia 42 tahun yang bekerja sebagai seorang guru agama di ibu negara ditahan di Setapak kerana berperanan sebagai fasilitator dan menyediakan penginapan kepada dua anggota Ansar Al-Shariah Al-Tunisia yang menyusup masuk ke Malaysia pada Oktober tahun lalu malah didapati mempunyai kaitan dengan dua suspek anggota Islamic State dan Al-Qaeda yang ditangkap pada tahun 2018 di Kuala Lumpur,” jelas beliau.

Mohamad Fuzi berkata, polis kemudiannya menahan seorang suspek warganegara Mesir berusia 24 tahun yang merupakan seorang pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Lembah Klang.

“Suspek mengaku sebagai ahli Ikhwanul Muslimin dan ditangkap kerana bertindak sebagai fasilitator dalam pembelian tiket penerbangan kepada dua anggota Ansar Al-Shariah Al-Tunisia yang menyusup masuk pada Oktober tahun lalu.

“Pada hari yang sama juga polis turut menahan seorang suspek warga Mesir berusia 28 tahun di Seri Kembangan, Selangor yang merupakan pelajar sebuah IPT di Pantai Timur. Selain menjadi fasilitator kepada dua ahli  Ansar Al-Shariah Al-Tunisia, suspek juga adalah fasilitator kepada Essam Marzouk Al Hafez yang merupakan elemen Al-Qaeda dan pernah dipernjarakan selama 13 tahun di Mesir,” ujarnya.

Tambah beliau, dua suspek yang masing-masing merupakan warga Mesir dan Tunisia berusia 21 juga 22 tahun ditahan di ibu kota pada 4 Februari lalu serta didapati pernah ditangkap ketika cuba menyusup masuk ke sebuah negara Afrika Tengah pada 2016.

“Mereka didapati menggunakan pasport palsu Syria dengan tujuan menjadikan Malaysia sebagai tempat transit sebelum menyusup masuk ke negara ketiga bagi melancarkan serangan.

“Tangkapan terakhir dibuat pada  9 Februari di Ampang, Selangor membabitkan seorang lelaki warga Mesir berusia 50 tahun yang bekerja sebagai guru Bahasa Arab. Suspek mengaku menjadi ahli Ikhwanul Muslimin dan merupakan fasilitator dalam menyediakan penginapan kepada dua anggota Ansar Al-Shariah Al-Tunisia yang menyusup masuk pada Oktober 2018,” katanya.

Jelas Mohamad Fuzi, hasil siasatan mendedahkan elemen ‘Foreign Terrorist Fighters’ yang cuba menjadikan Malaysia sebagai lokasi selamat, destinasi transit dan pangkalan logistik dengan cara menyusup masuk ke negara ini melalui kaedah penggunaan dokumen palsu atau sah, berkahwin dengan rakyat tempatan, mengeksploitasi kemudahan pengajian atau perniagaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini