Kerjasama UMNO-Pas, jangan samakan dengan politik Taliban - DAP Johor - Utusan Malaysia

Kerjasama UMNO-Pas, jangan samakan dengan politik Taliban – DAP Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 10 Mac – Konsep kerjasama antara UMNO dan Pas tidak menyalahi demokrasi dan tidak wajar mana-mana pihak dengan sewenangnya menyamakannya dengan politik Taliban, kata Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Umar Ali.

Sheikh Umar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh percaya sesiapa pun tidak mahu mengamalkan politik tohmah sedemikian sebaliknya menjunjung politik dasar, polisi dan nilai untuk kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, keinginan UMNO dan Pas untuk mengadakan kerjasama politik merupakan hak mereka dan sebagai kerajaan, tumpuan sepenuhnya harus diberikan dalam melaksanakan agenda pembaharuan kepada rakyat. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam sistem di negara kita, konsep kerjasama antara UMNO dan Pas adalah tidak menyalahi demokrasi dan kita tidak wajar sewenangnya menyamakan ia dengan politik Taliban.

“Kita sebagai pemimpin daripada parti DAP bukan mewakili kaum Cina sahaja, sebaliknya kita mewakili seluruh rakyat merentasi sempadan bangsa dan agama,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Beliau berkata, perkembangan politik melibatkan UMNO dan PAS, DAP seharusnya bersikap waras dalam menangani tindak-tanduk mereka sekali gus tidak terjebak dengan sikap sama iaitu menyemai benih kebencian dan prasangka antara kaum. 

Tambahnya, DAP yang sering ditohmah sebagai parti cauvinis harus sedar bahawa dengan hujah-hujah ekstrem tidak akan membawa parti itu ke mana-mana sebaliknya akan meletakkan DAP pada kedudukan paling sukar untuk mengubati imej yang dimomokkan selama ini.

“Sebagaimana kita tidak mahu dimomokkan dengan ejekan komunis oleh musuh politik, kita juga tidak wajar melabel pihak lain sebagai Taliban. 

“Kita harus matang dan keluar dari perangkap pemikiran cetek dan jahil,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Ekonomi Kreatif negeri. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini