SUNGAI PETANI 10 Mac – Kelab Ketuanan Melayu Kedah (KKMK) membuat laporan polis terhadap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kerana bersikap biadab apabila menimbulkan isu menyakitkan hati orang Melayu berhubung kerjasama UMNO dan Pas.
Setiausahanya, Faridah Tajalis berkata, sehubungan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Peguam Negara diminta tidak membisu atau memandang remeh isu tersebut.
“KKMK membuat laporan setelah melihat tindakannya itu berbaur hasutan dan dibuat secara tidak bertanggungjawab.
“Kenyataan tersebut juga dibuat atas kapasiti beliau sebagai Ahli Parlimen dan Menteri Kewangan. Beliau (Guan Eng) menyalahgunakan kuasa dan kedududukan untuk membangkitkan kebencian antara orang Melayu dan bukan Melayu,” katanya ketika ditemui.
Terdahulu, Faridah bersama-sama ahli KMKK dan UMNO Bahagian Merbok membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini, semalam.
Menurutnya lagi, sebagai pemimpin politik, Guan Eng sepatutnya lebih matang sebelum mengeluarkan sebarang pandangan demi kebaikan rakyat di negara ini.
“Laporan polis ini dibuat supaya siasatan dan tindakan sewajarnya diambil terhadap beliau bagi membendung apa-apa sahaja perbuatan yang boleh membangkitkan semangat perkauman.
“Apabila sikap berprasangka buruk timbul dalam diri pemimpin, ia boleh memberi kesan buruk terhadap keharmonian hidup penduduk di negara ini,” kata Faridah lagi.
Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Merbok, Mohd. Nor Aizat Nor Azam berkata, tindakan undang-undang perlu diambil kerana keterlanjuran kata-kata Guan Eng telah menjurus ke arah menimbulkan ketegangan antara kaum.
Menurutnya, keharmonian antara Pas Dan UMNO bukan satu masalah kepada masyarakat lain di negara ini, malah ia mewujudkan keharmonian sejagat terutama cara berpolitik dalam kalangan orang Melayu keseluruhannya. – UTUSAN ONLINE











