ALOR SETAR 10 Mac – Kebanyakan pekerja syarikat pembersihan di kawasan sekolah merupakan penduduk tempatan yang terdiri daripada golongan memerlukan.
Justeru sekiranya golongan itu dibuang kerja sudah pasti kehidupan mereka akan terjejas.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, beliau tidak pasti mengenai polisi baharu kerajaan dan Kementerian Pendidikan dalam melaksanakan format tender baharu memilih syarikat pembersihan, namun sebaiknya janganlah menyukarkan rakyat.
Katanya yang juga bekas Menteri Pendidikan, jika pengambilan pekerja itu dikecilkan, ia bakal menyebabkan ramai pekerja yang terkesan.
“Kebanyakan pekerja (pembersihan) kontrak itu adalah penduduk tempatan dan mereka pastinya akan terkesan dengan tindakan tersebut.
Tidak salah jika benda baik dilaksanakan kerajaan terdahulu dikekalkan,” katanya di sini hari ini.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan mengenai rintihan seorang pekerja sebuah syarikat pembersihan di Langgar di sini yang diberhentikan kerja apabila majikannya itu terpaksa mengurangkan kakitangan.
Sebagai pampasan setelah diberhentikan kerja, lelaki tersebut, Fakrul Rozi Mohd. Isa, 35, hanya diberikan RM30 sebagai saguhati oleh majikannya itu.
Berikutan itu, sehingga hari ini, Fakrul Rozi yang tinggal bersama ibunya yang berusia 69 tahun di sebuah kediaman kecil di kawasan pekan Langgar masih tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya mengikut rakan melakukan kerja-kerja kampung seperti memotong rumput dengan pendapatan kira-kira RM500 sebulan.
Sebelum itu, Utusan Malaysia turut melaporkan seramai 45,000 orang pekerja pembersihan bangunan dan kawasan sekolah di seluruh negara diancam hilang pekerjaan jika Kementerian Pendidikan melaksanakan format tender baharu tahun ini.
Yang Dipertua Persatuan Kontraktor-Kontraktor Bumiputera Sisa Pepejal dan Pembersihan (Kosppem) Pahang, Datuk Tengku Abu Nirah Tengku Ahmad dilaporkan berkata, format itu perlu dikaji semula bagi mengelakkan lebih ramai rakyat kehilangan pekerjaan.
Sementara itu, Mahdzir berkata, langkah tersebut berkemungkinan diambil selepas Kementerian Pendidikan mengalami kekurangan peruntukan.
“Sekarang Kementerian Pendidikan disekalikan dengan Kementerian Pendidikan Tinggi. Dahulu masing-masing kementerian mendapat peruntukan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











