KUALA LUMPUR – Kerajaan tegas dengan pendirian bahawa amalan kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) tidak diterima sama sekali di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata kerajaan tidak mengktiraf sesuatu perbuatan yang salah di sisi undang-undang.
“Saya amat terkejut dengan tindakan segelintir pihak pada hari ini yang menyalahgunakan ruang demokrasi untuk mempertahankan perkara (LGBT) yang salah di sisi agama Islam.
“Mana mungkin kita mengiktiraf sesuatu perbuatan yang salah di sisi undang-undang. Malah, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga pernah menegaskan tentang perkara ini,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.
Mujahid mengulas mengenai satu perhimpunan hari ini bagi menuntut hak wanita yang diadakan bersempena Hari Wanita Sedunia berhampiran sebuah pusat membeli belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman pagi tadi. – Bernama











