IPOH 9 Mac – Seorang bayi lelaki berumur tiga bulan meninggal dunia selepas didapati tidak sedarkan diri ketika berada di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Taman Margosa Botani di sini semalam.
Mangsa, Muhamad Akif Iskandar Meor Ikram dari Taman Pinji Perdana telah diambil oleh kedua ibu bapanya selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pemilik taska berkenaan pada pukul 6 petang.
Timbalan Ketua Polis daerah, Superintenden Mazuki Mat berkata, setibanya kedua-dua pasangan itu di taska tersebut pada pukul 6.15 petang, mangsa didapati tidak sedarkan diri dengan seluruh badannya pucat serta tiada denyutan nadi.
“Sehubungan itu, mereka sekeluarga terus bergegas ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan mangsa dimasukkan ke Jabatan Kecemasan (Zon Kritikal) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Selepas itu, mangsa disahkan meninggal dunia oleh doktor. Keadaan mangsa sebelum dihantar ke taska adalah baik, sihat tetapi cuma selesema,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mazuki, hasil bedah siasat yang selesai dijalankan pada pukul 12.30 tengah hari ini di HRPB bagaimanapun mengesahkan punca kematian adalah disebabkan oleh paru-paru berair (pulmonary edema).
Sehubungan itu katanya, kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Terdahulu, bapa mangsa, Meor Ikram Adnan, 32, ketika ditemui di Jabatan Forensik HRPB hari ini meluahkan rasa terkilan dengan tindakan pengasuh yang didakwa lewat memaklumkan kejadian yang menimpa anak bongsu daripada tiga beradik itu.











