UMNO dan jutaan ahlinya hanya akan menjadi `harimau kertas’ jika mereka tidak mempunyai pengetahuan tentang sejarah bangsa dan tidak faham falsafah dan hala tuju perjuangan parti.” Demikian saya ungkapkan dengan nada yang agak provocative dalam satu artikel dalam majalah Dewan Masyarakat kira-kira 10 tahun lalu. Pada waktu itu imej ‘harimau kertas’ ini yang sebenarnya secara berbalam-balam mula membayang dalam tubuh UMNO.
Dalam kalangan sesetengah nasionalis Melayu, UMNO dianggap semakin apologetik, mudah minta maaf. Antara contoh yang sering disebut pada waktu itu ialah peristiwa Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Hishammuddin Hussein minta maaf kerana ‘menyesal’ mencium keris dalam mesyuarat agung tahunan pergerakan itu. Beliau minta maaf setelah tindakan simbolik mencium keris itu dibantah oleh orang Cina. Perbuatan minta maaf itu memberi gambaran dalam kalangan orang bukan Melayu seakan-akan UMNO (Ketua Pemudanya?) mudah disergah.
Kiasan ‘harimau kertas’ buat masa ini mungkin sudah tidak sesuai untuk menggambarkan kewujudan UMNO. Pada hemat saya, sekarang UMNO sedang sakit tenat atau gawat kerana itu perlu dirawat dengan sungguh-sungguh supaya UMNO tidak ‘ditalkinkan’ seperti yang dikehendaki oleh sesetengah pihak. Dan jangan lupa ada pula puak berkehendak lebih jahat dan mengingini UMNO mati tanpa kubur supaya segala jasa dan kegemilangan sejarah perjuangannya dilupakan begitu sahaja.
Puak yang ingin melihat UMNO mati tanpa kubur ini adalah musuh tradisi (atau lebih tepat jika dipanggil musuh hakiki UMNO) yang melihat tidak satu pun yang baik pada UMNO sejak zaman kehadiran Lee Kuan Yew dahulu hingga ke era Lim Kit Siang sekarang. Puak ini tak henti-hentinya melemparkan tuduhan dengan kata-kata nista. Di suatu masa dulu, puak-puak ini berleluasa menuduh pemimpin-pemimpin UMNO sebagai `ultra’ semata-mata kerana UMNO memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu dan agama Islam. Sejak akhir-akhir ini istilah yang sering dilemparkan untuk mencerca UMNO adalah rasis.
Demikianlah nasib UMNO sekarang, sementara musuh hakiki tidak henti-hentinya mencerca dan mencaci, sebahagian kaum kerabat yang selama ini seiring bahu membahu sekarang bersimpang jalan. Tongkat yang sepatutnya memperteguh langkah sekarang ternyata membawa rebah. Dahan tempat bergantung beransur-ansur menjadi rapuh. Kerana itulah maka dikatakan UMNO kini menghidap penyakit tenat yang perlu dirawat sungguh-sungguh.
Memang benar bahawa UMNO yang sekian lama banyak berjasa, sejak akhir-akhir ini terpalit dengan pelbagai dosa akibat sesetengah pemimpin dan penyokong yang rakus dan serakah. Tetapi adakah wajar kerana marahkan nyamuk kelambu dibakar? Janganlah hendaknya kita bersikap buruk seperti yang disindir dan dikutuk oleh pepatah orang tua, habis manis sepah dibuang. Dengan perkataan lain, walaupun UMNO (segolongan pemimpin-pemimpin utamanya) banyak ‘berdosa’ menjelang PRU Ke-14, jasa bakti angkatan pemimpin terdahulu, janganlah dilupakan. Kerana itulah maka UMNO perlu diselamatkan dan penyakit yang dihidapinya sejak 10 tahun lalu perlu dirawat.
Peri pentingnya UMNO diselamatkan sama ada untuk berkuasa kembali sebagai parti yang memerintah atau berfungsi sebagai pembangkang yang membina, telah dihuraikan dengan panjang lebar oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dalam Mingguan Malaysia, 3 Jun 2018. Beliau menegaskan: “UMNO perlu terus ada untuk menjaga kepentingan orang Melayu dan Islam di Malaysia. Pemimpin-pemimpin yang menjadi liabiliti hendaklah disingkirkan.”
Abdul Hamid menasihatkan pemimpin-pemimpin baharu dan mereka yang masih setia kepada UMNO supaya belajar daripada kesilapan-kesilapan pra PRU Ke-14. Seterusnya mengingatkan betapa hak orang Melayu semakin terhakis akibat tuntutan kumpulan seperti Hindraf (atau serpihannya), Dong Zong, dan Comango. Membendung keterhakisan itu adalah satu tanggungjawab UMNO sesuai dengan inti utama falsafah perjuangannya mempertahankan Ali, Ba, Ta (agama, bangsa dan tanah air).
Selain tulisan Tun Abdul Hamid, satu lagi analisis yang menarik mengenai kedudukan UMNO pasca PRU-Ke 14 ditulis Rektor Universiti Islam Antabangsa (UIA), Tan Sri Profesor Dzulkifli Abdul Razak berjudul Reinventing UMNO (akhbar The Sun, 14 Mei 2018). Antara yang tertonjol dalam tulisan Dzulkifli ialah perbezaan UMNO di masa lampau (terutama di zaman Allahyarham Tun Razak) dengan UMNO sejak 10 tahun lalu.
Beliau membuat perbandingan: “UMNO di masa lalu dengan UMNO zaman sekarang adalah dua entiti berbeza bagai langit dan bumi. UMNO hari ini terlalu memandang ke dalam (tidak berpandangan jauh), kebanyakan tokoh utamanya terlalu mementingkan diri sendiri dan mengabaikan realiti sekeliling.” Tulisan itu telah memetik sedutan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, antara lain: “Jika Tun Razak masih hidup pada hari ini, Allayarham akan sangat kecewa dan merasa kesal kecewa melihat kedaan ekonomi dan pendidikan di negara ini.”
Demikianlah UMNO yang selama lebih enam dekad sejak tertubuh telah menabur banyak jasa, akhirnya kehilangan kuasa memerintah akibat gagal mendapat suara terbanyak (kerusi Dewan Rakyat) dalam PRU Ke-14. Dengan kehilangan kuasa memerintah, imej `harimau kertas’ yang berbalam-balam menggambarkan tubuh UMNO sejak 10 atau 15 tahun lalu bertukar menjadi imej orang ‘demam kepialu’ yang tidak bermaya atau imej orang yang sakit tenat dengan macam-macam kerenah.
Maka muncullah pelbagai watak yang mewakili wajah atau imej UMNO dalam khalayak ramai: Ada watak yang terlibat dalam rasuah tetapi tidak mengaku bersalah, ada watak berlagak sebagai samseng yang seakan-akan lebih cenderung menggunakan otot daripada otak, ada watak yang tidak mahu menerima realiti dan ada watak yang tidak tahu bersyukur. Tetapi terdapat juga watak yang lebih siuman yang untuk sementara waktu memilih untuk mendiamkan diri. Terdapat juga watak-watak secara diam bermuhasabah.
Ibarat seorang manusia yang sakit tenat UMNO memerlukan diagnosis atau pemeriksaan menyeluruh dari segala segi. Perlu bermuhasabah dan melakukan introspeksi. Saya percaya orang Melayu masih memerlukan UMNO sama ada sebagai parti pemerintah yang cekap dan adil atau sebagai parti pembangkang yang bertanggungjawab dan disegani. Oleh kerana itu UMNO yang gawat perlulah dirawat.
n DATUK DR. FIRDAUS ABDULLAH ialah bekas Senator, penyair dan penganalisis politik.
Ibarat seorang manusia yang sakit tenat UMNO memerlukan diagnosis atau pemeriksaan menyeluruh daripada segala segi. Perlu bermuhasabah dan melakukan introspeksi.











