KUALA LUMPUR 9 Mac – Langkah Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai dalam kejohanan badminton tertua dunia, All England 2019 terhenti di separuh akhir selepas gagal menyaingi pasangan No. 3 dunia, Yuta Watanabe-Arisa Higashino dalam saingan beregu campuran, hari ini.
Selepas cemerlang mengejutkan pasangan No. 2 dunia, Wang Yilyu-Huang dari China pada suku akhir semalam, pasangan kedua negara itu terpaksa akur 16-21, 13-21 kepada juara bertahan, Yuta-Arisa hanya dalam masa 37 minit.
Penyingkiran Soon Huat-Shevon melenyapkan harapan peminat badminton tanah air untuk memiliki juara beregu campuran pertama kerana Malaysia tidak pernah memenangi acara tersebut sejak All England diperkenalkan pada 1899.
Pencapaian terbaik Malaysia sebelum ini adalah menerusi beregu utamanya, Chan Peng Soon-Goh Liu Yin yang muncul naib juara pada 2017.
Ketika itu Peng Soon-Liu Ying tewas kepada Lu Kai-Huang Yaqiong dari China dalam saingan akhir dengan keputusan 18-21, 21-19, 21-16.
Bagi Arisa, kejayaan mengalahkan Soon Huat-Shevon meningkatkan keyakinan untuk mempertahankan kejuaraan.
Mereka akan bertemu pemenang di antara pasangan No. 1 dunia, Zheng Siwei-Huang Yaqiong dari China atau Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti dari Indonesia.
“Penyokong adalah kekuatan kami kerana mereka sentiasa berada di belakang kami menjadi pendorong kepada pasukan Jepun.
“Kerjasama yang baik daripada pasangan saya dan mereka yang berada di belakang tabir menyumbang kepada kecemerlangan kami,” kata Arisa.
Sementara itu, beregu lelaki No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan kecemerlangan apabila melangkah ke saingan separuh akhir.
Aaron-Wooi Yik menunjukkan semangat juang tinggi ketika mengetepikan beregu No. 12 dunia, Liu Zheng-Zhang Nan dari China 21-19,-17-21, 21-12.
Bagaimanapun, cabaran getir bakal menanti pasangan muda negara itu apabila berdepan pasangan No. 9 dunia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia.











