Wanita, kena kuat! - Utusan Malaysia

Wanita, kena kuat!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Hello perempuan garang, selamat hari wanita!” Saya menerima mesej ini dalam aplikasi WhatsApp pagi kelmarin. Sambil tersenyum saya membalas – “Bukan hari-hari pun hari wanita ke?”

Kemudiannya saya melihat ramai yang mengucapkan selamat hari wanita dalam laman-laman sosial dan dalam perjalanan ke pejabat, saya mendengar ucapan-ucapan orang ramai di radio stesen Suria FM.

Wah! bukan main lagi mereka mengucapkan hari wanita, sambil memuji kehebatan dan kecekalan wanita. Harap ini bukan bersifat fake ya, kata orang putih. Iyalah, biasanya begitulah. Kebanyakan orang hanya melihat kebaikan dan jasa seseorang itu pada hari tertentu. Hari Guru misalnya. Pada hari itu baru mahu mengenang jasa mereka, pada hari biasa pula ada emak bapa yang cari kesalahan guru. Macam itu juga Hari Polis, pada hari tersebut semua bercakap pasal sumbangan pihak berkuasa itu, esoknya, kembali mengutuk polis.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menjadi seorang wanita, bukan mudah. Walaupun ada lelaki yang teringin sangat menjadi wanita. Berpakaian wanita. Bersolek macam mahu jadi cover majalah walaupun sekadar melepak di restoran mamak. Berjalan melenggok mengalahkan wanita. Itu bukanlah keseronokan menjadi wanita sebenarnya. Hakikatnya, wanita yang didambakan bersifat lemah-lembut oleh kebanyakan lelaki, memerlukan pelbagai kekuatan. Malah, kekuatan yang lebih berbanding lelaki.

Selalunya wanita, kalau bercakap lebih sedikit dika­ta kuat membebel atau menunjuk pandai. Kalau berdiam diri pula, menjadi mangsa buli dan ditipu. Kalau agresif dikata gedik lebih. Kalau berkumpul dan berborak sesama mereka dituduh mengumpat. Kalau bertegas dan garang, dikata pula tercekik anak harimau! Kadang-kadang kita menjadi serba salah.

Pun begitu, saya sentiasa bersetuju wanita memerlukan kekuatan untuk berdiri sen­diri. Tidak perlulah terlalu ber­paut dan bergantung kepa­da orang lain. Sebab itu, dalam banyak keadaan, anak perempuan perlu belajar tinggi, mempunyai kemahiran dalam pelbagai bidang, tidak mengharapkan duit sesiapa apabila sudah bekerja kelak kerana dalam melalui hari-hari akan datang, macam-macam boleh jadi jika tiada persediaan dari segi kewangan dan mental. Bukan hendak mengharapkan perkara-perkara buruk berlaku dalam hidup, tetapi adakalanya ujian datang bertimpa-timpa. Hidup ini bukan satu jalan yang lurus untuk semua. Banyak liku perlu dilalui.

Melihat kepada beberapa peristiwa menyayat hati baru-baru ini melibatkan ibu tunggal yang terlalu bergantung kepada lelaki hingga mengorbankan anak atau menjejaskan kebahagiaan anak, hati saya luluh. Apalah hendak dikejarkan cinta seorang lelaki yang belum tentu mampu membimbing ke jalan yang benar dan pada masa sama bukan boleh membantu dari segi kewangan, hanya memporak-perandakan hidup berbanding membela anak sendiri, yang diamanahkan Tuhan.

Bukan sekali dua kes seperti ini berlaku, sebelum ini pun ada banyak kes ibu tunggal membiarkan anak kecilnya dijaga oleh teman lelaki yang berperangai `haprak’. walaupun sudah tahu dan nampak anak itu sering dipukul di depan mata, si ibu tetap sanggup bersama lelaki itu dan mengetepikan segala kesakitan ditanggung anak sendiri. Ada anak yang ditinggalkan sendirian di rumah hanya kerana ibu mahu mengikut teman lelaki!

Bangunlah wahai ibu tung­gal yang berperangai sebegini! Janganlah mencari kebahagiaan yang hanya bersi­fat sementara untuk diri sendiri. Tetapi akhirnya mem­binasakan hidup. Renunglah wajah anak sendiri! Yang memer­lukan perhatian, kasih sayang dan penjagaan. Matikah kalau hidup tanpa lelaki haprak sebegini?

Saya mempunyai beberapa kawan ibu tunggal, yang saya kira sudah berjaya mem­be­sarkan anak-anak dari kecil sehingga melangkah masuk ke menara gading. Mereka bergelut untuk hidup, sendirian mencari wang untuk anak-anak. Tetapi hasilnya, anak-anak hidup selamat dan mampu belajar tinggi. Hidup ini kita sendiri yang tentukan, mahu bahagia atau derita. Dan rasa bahagia itu juga datang dari dalam diri sendiri, bukan daripada orang lain. Kalau dah patah riuk anak sendiri, itukah makna bahagia?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini