Terima hakikat tidak layak tinggal di PPR - Utusan Malaysia

Terima hakikat tidak layak tinggal di PPR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM 9 Mac – Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis yang terlibat dalam pengusiran oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu me­nerima hakikat mereka tidak lagi layak mendiami rumah berkenaan.

Sebaliknya, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, penduduk berkenaan kini berada dalam kategori lain yang mana masih membolehkan mereka memohon rumah mampu milik daripada kerajaan negeri.

Jelasnya, penduduk terlibat juga perlu memahami rumah berkenaan adalah kediaman transit untuk mereka bagi tempoh tertentu sebelum merancang masa depan yang lebih baik.

Memuatkan artikel berkaitan…
CHOW KON YEOW
CHOW KON YEOW 

Tambah beliau, kerajaan negeri sudah beberapa kali membuat penjelasan kepada penduduk dan memberikan tawaran sewajarnya namun tiada sebarang tindakan dilakukan penduduk sehingga ke tarikh pengusiran.

“Saya berharap penduduk terlibat boleh terima hakikat mereka sudah hilang kelayakan untuk tinggal di PPR, tetapi masih layak untuk kategori rumah lain.

“Jadi kita tunggu mereka tampil dan lihat kesesuaian untuk ditawarkan rumah lain, hilang kelayakan PPR tidak semestinya hilang segalanya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan pengusiran terhadap seramai 22 penduduk PPR Taman Manggis Rabu lalu yang menyebabkan enam keluarga sehingga kini memi­lih untuk berpindah dan tinggal di pekarangan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata,  kerajaan negeri masih terbuka untuk mengadakan rundingan dengan penduduk berhubung kemelut tersebut.

Bagaimanapun, katanya, da­lam beberapa pertemuan de­ngan wakil kerajaan negeri sebelum ini, penduduk terlibat tetap mengambil pendirian menolak tawaran yang diberikan kepada mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini