IPOH 9 Mac – Kira-kira 200 ejen jualan tiket bas di Terminal Amanjaya di Meru di sini berisiko hilang pendapatan ekoran pelaksanaan Sistem Jualan Tiket Berpusat (CTS).
Sistem CTS sepatutnya dikuatkuasakan mulai semalam namun selepas menerima desakan, kerajaan negeri mencapai persetujuan dengan pengendali Terminal Amanjaya iaitu Perak Transit Berhad untuk melanjutkan sistem jualan tiket di kaunter sehingga 31 Mac ini.
Namun, penangguhan itu masih belum dapat melegakan ejen jualan tiket kerana langkah itu hanya sementara dan selepas tarikh berkenaan operasi mereka perlu dihentikan.

Pengerusi Bas Ekspres Amanjaya, Mohd. Tarmizi Mohd. Yusof sehubungan itu berkata, pihaknya mahu kerajaan negeri meluluskan pewartaan bangunan Silveritage di Medan Gopeng dekat sini sebagai terminal bas ekspres Ipoh Selatan.
Menurutnya, langkah itu merupakan penyelesaian terbaik bagi mengelakkan ejen yang terlibat kehilangan mata pencarian untuk menyara keluarga.
Katanya, bangunan Silveritage di Medan Gopeng merupakan tempat baharu untuk ejen mencari rezeki dan perlu diwartakan sebagai terminal bas untuk menurun dan naik penumpang.
“Kami menawarkan penyelesaian kepada kerajaan negeri dengan cara bangunan Silveritage di Medan Gopeng dekat sini diwartakan sebagai terminal bas ekspres Ipoh Selatan.
“Dengan cara ini ejen jualan tiket boleh terus mencari pendapatan seperti biasa di tempat baharu dan tidak lagi gusar kemungkinan hilang mata pencarian,” katanya ketika ditemui hari ini.
Menurutnya, cadangan itu mendapat persetujuan dan sokongan daripada semua ejen malah pihaknya sudah mempunyai pelan untuk bangunan Silveritage dijadikan sebagai terminal bas.
Katanya, tambahan pula Medan Gopeng merupakan lokasi yang strategik untuk pengguna mendapatkan perkhidmatan bas untuk ke mana-mana destinasi.
“Sebelum ini bangunan Silveritage merupakan terminal bas sebelum operasinya dipindahkan di Terminal Amanjaya, jadi ia merupakan tempat yang strategik.
“Jika ia dijadikan terminal bas, perniagaan di sekitar kawasan Medan Gopeng juga akan kembali rancak seperti sebelum ini,” katanya.











