Apakah hukumnya wanita memakai minyak wangi ketika ke tempat kerja atau bersiar-siar. Kata mereka rasa tidak selesa jika tidak memakai minyak wangi. Boleh ustaz jelaskan hukumnya dalam syarak?
Siti, Pagoh
Wanita yang memakai bau-bauan ini boleh dilihat daribeberapa sudut;
* Harus, apabila berada di rumah terutama ketika bersama suami. Maka silakan memakai haruman. Di hadapan suamilah yang terbaik untuk berwangi-wangian apatah lagi jika si suami menyukai bauan tersebut.
* Sunat, apabila ingin mendirikan solat di rumahnya. Tujuannya supaya bersih, wangi dan terhindar daripada bau-bauan yang kurang enak ketika melakukan ibadat seperti bersolat.
* Makruh, ketika berpuasa.
* Haram, apabila berlebih-lebihan memakai wangi-wangian sehingga menimbulkan fitnah ketika berada di luar rumah walaupun tujuannya untuk ke masjid. Begitu juga memakai wangi-wangian bertujuan untuk menggoda sehingga menimbulkan suasana tidak baik apabila berada dalam khalayak. Rasulullah SAW bersabda:”Mana-mana perempuan yang mengenakan wangian dan berjalan melewati satu kaum dan didapati bau itu adalah darinya, maka perempuan tersebut adalah penzina.”-Riwayat-Abu Daud dan Nasaie
Maka untuk mengelakkan bau badan yang kurang menyenangkan gunakanlah deodoran yang tidak mempunyai pewangi dan gunakan penyah bau badan. Jangan melampau dalam bersolek dan berwangi- wangian sehingga mendapat dosa.











