PORT DICKSON 9 Mac – Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr. S. Streram hari ini berikrar untuk terus setia kepada PKR dan berjanji tidak akan melakukan protes sekiranya tidak terpilih sebagai calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau pada 13 April ini.
Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau itu berkata, beliau yang diterima sebagai ahli PKR pada 2008 akan terus taat dan setia kepada pucuk pimpinan PKR yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya tidak akan menangis, meraung atau melakukan protes jika nama saya tiada.
“Saya akan menyokong, tidak kira siapa calon sekalipun. Kemenangan PKR dan PH dalam PRK ini adalah jauh lebih penting berbanding soal peribadi,” katanya dalam Diskusi Eksklusif bersama Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau di Kampung Jimah Baru, di sini hari ini.
Timbalan Pengerusi Penaja Pertubuhan Penyokong Reformasi Malaysia (Perform), Zainurin Baba bertindak sebagai moderator dalam program tersebut.
Menurut Dr. Streram, beliau tidak mahu terlalu memikirkan mengenai calon dan hanya menunggu keputusan pimpinan tertinggi parti.
“Saya yakin dengan kebijaksanaan Datuk Seri Anwar. Sebagai pasukan yang kuat, saya akan membantu kempen calon yang dipilih kelak,” katanya.
Beliau menarik perhatian, sepanjang 10 bulan dilantik sebagai Penyelaras DUN kawasan itu, beliau telah masuk semua kampung dan taman perumahan untuk menyampaikan bantuan persekolahan, bantuan sara hidup dan meninjau masalah banjir.
“Saya dapati penduduk memberi sokongan kepada PKR dan PH untuk membawa pembaharuan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











