Geng Gi Mekoh Nga Mutor terima motosikal baharu - Utusan Malaysia

Geng Gi Mekoh Nga Mutor terima motosikal baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 9 Mac- Tiga penunggang kapcai ‘Geng Gi Mekoh Nga Mutor’ hari ini menerima sumbangan motosikal jenis SYM E Bonus setiap seorang daripada Syarikat Mayazia Auto (Mayazia) Sdn. Bhd.

Pengarah Urusan Mayazia, Datuk Khairul Othman berkata, pemberian motosikal berkenaan adalah sebagai penghargaan di atas kejayaan geng itu yang menunggang kapcai melalui lapan negara selama hampir tiga bulan demi mencapai misi ke tanah suci Mekah dan Madinah.

Beliau berkata, sebagai salah seorang penaja ‘Gi Mekoh Nga Mutor’, Mayazia berbangga dengan kejayaan tiga sahabat itu dan pihaknya berharap pemberian itu bakal menjadi pembakar semangat untuk mereka terus mengharumkan nama negara dalam misi seterusnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pemberian motosikal ini hanya dirancang sekembalinya mereka ke tanah air dan ini adalah hadiah di atas usaha serta kesungguhan mereka. Kebetulan hari ini adalah majlis perkahwinan anak saya.

“Jadi saya mengambil kesempatan untuk menyerahkan motosikal kepada mereka bertiga,” katanya ketika ditemui pada majlis kesyukuran dan penyerahan sumbangan tersebut di kediamannya, di sini hari ini.

Diami Yusoff,61;  Mohd. Zalani Zulkifli, 65 dan Mohamad Fadhli Ab. Rashid, 41 memulakan misi kembara mereka menunggang motosikal kapcai merentasi lapan buah negara dengan perjalanan sejauh 14,000 kilometer (km).

Inisiatif mereka bertiga secara tidak langsung  berjaya membuktikan usia bukan penghalang untuk menunggang motosikal kapcai ke Tanah Suci Mekah dan Madinah, meskipun mengetahui banyak cabaran dan rintangan perlu ditempuhi.

Sementara itu, Diami yang mewakili geng itu berterima kasih kepada Mayazia kerana syarikat itu tidak putus-putus memberi sokongan kepada mereka dalam menjayakan misi tersebut

“Selepas selesai kembara, kami bertiga berjumpa dengan kesemua penaja yang banyak membantu Geng Gi Mekoh Nga Mutor.

“Insya Allah, kami bercadang mengajak sesiapa sahaja yang mahu bersama-sama kami melakukan misi yang sama pada tahun hadapan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini