Empat sekeluarga termasuk nenek ditahan mencuri - Utusan Malaysia

Empat sekeluarga termasuk nenek ditahan mencuri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH – Empat sekeluarga melibatkan seorang nenek, anak perempuan dan dua cucu lelakinya ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes curi pelbagai barangan di sebuah pasar raya di Taman Pusing Hijau, Pusing di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 6 petang itu, kesemua suspek berusia 17 hingga 60 tahun itu dipercayai memasuki pasar raya di bahagaian barangan keperluan dapur sebelum keluar dan melarikan diri tanpa membuat sebarang pembayaran.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihak pasar raya hanya menyedari pelbagai barangan mereka dicuri selepas penyelianya mendapati beberapa kotak susu, susu tin, minyak masak dan penyembur racun serangga hilang dari rak selepas melakukan pemeriksaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Penyelia kemudian datang ke Balai Polis Pusing untuk membuat laporan dan polis kemudiannya berjaya mengesan keluarga berkenaan yang menaiki kereta jenis Proton Saga berwarna putih di stesen minyak berhampiran.

“Kira-kira pukul 6.30 petang, polis berjaya menahan semua suspek di stesen minyak itu dan semua barangan yang dipercayai dicuri dari pasar raya berkenaan dirampas,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Tambah Ahmad Adnan, semua barangan yang dicuri itu ditemui disimpan di dalam but kereta berkenaan.

“Antara barangan yang berjaya dirampas kembali daripada suspek adalah termasuk 14 kotak susu, dua bungkus serbuk minuman gandum, serbuk minuman malt coklat (1), minyak masak (2), penyembur serangga (5) dan pelbagai jenis pakaian.

“Semua barangan dirampas dianggarkan bernilai RM900,” katanya.

Katanya, semua suspek ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 11 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.  

“Semakan turut mendapati nenek dan anak perempuannya itu masing-masing mempunyai satu rekod jenayah lampau melibatkan kes curi manakala dua cucunya tidak mempunyai rekod jenayah,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini