PONTIAN 9 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri menahan sebuah kapal tangki yang berdaftar di Micronesia selepas berlabuh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut Malaysia pada kedudukan 4.5 batu nautika tenggara Tanjung Piai semalam.
Pengarah Maritim negeri, Laksamana Pertama Maritim, Aminuddin Abdul Rashid berkata, kapal tersebut ditahan bot peronda pada pukul 1.30 tengah hari.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kapal terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen dan bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia.
“Kapal terbabit dikendalikan oleh lapan kru warga Indonesia termasuk Master berumur lingkungan berumur lingkungan 24 hingga 45 tahun.
“Bagaimanapun, ketika pemeriksaan dijalankan hanya terdapat empat kru termasuk master. Empat kru lain dimaklumkan telah pulang ke Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Aminuddin berkata, kapal terbabit kemudiannya dibawa ke jeti Maritim negeri untuk siasatan lanjut dibawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
“Maritim Malaysia mengambil berat aspek keselamatan di laut terutamanya dalam kalangan komuniti maritim. Semua pihak komuniti maritim hendaklah mematuhi undang-undang yang terpakai di Zon Maritim Malaysia bagi membendung sebarang insiden di laut.
“Sebarang aduan tentang salah laku atau kecemasan di laut hubungi 999 atau talian Pusat Operasi Maritim Negeri Johor 07-2199404,” katanya. – UTUSAN ONLINE











