LONDON – Jaguh badminton dunia dari China, Lin Dan mengakui bergelut dengan keadaan fizikal dan konsentrasinya selepas tersingkir seawal pusingan pertama pada Kejohanan Badminton Seluruh England (All England) awal pagi semalam.
Juara dunia lima kali itu terlepas peluang memburu gelaran All England ketujuhnya apabila akur dengan kehebatan pemain Jepun, Kanta Tsuneyama menerusi kekalahan 21-19, 14-21, 7-21 dalam tempoh lebih sejam.
Meskipun kecewa tersingkir seawal pusingan pertama, namun pemain berusia 35 tahun itu sedia untuk menampilkan aksi lebih baik pada kejohanan akan datang bagi memburu slot ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun tahun depan.
“Semua pemain bermain habis-habisan serta bekerja keras untuk memenangi mata bagi merebut peluang beraksi pada Sukan Olimpik akan datang. Agak kecewa kerana tewas pada pusingan awal, tetapi saya akan beraksi lebih banyak lagi kejohanan selepas ini bagi mengutip mata,” kata Lin Dan.
Dalam pada itu, Tsuneyama, 22, berkata, kelebihan fizikal yang dimilikinya nyata memberi kelebihan buatnya mengambil kesempatan ke atas pemenang dua kali pingat emas Sukan Olimpik berkenaan.
“Bagi saya, kejohanan ini adalah kejohanan terbaik di dunia, jadi ia membakar semangat saya untuk cuba memenanginya. Suasana kejohanan sangat berbeza, jadi saya akan cuba melangkah lebih jauh pada kejohanan ini,” ujar Tsuneyama.
Dalam pada itu, juara Olimpik serta pemenang dua kali All England dari China, Chen Long turut tersingkir selepas tewas 15-21, 17-21 kepada pemain Denmark, Rasmus Gemke. – Agensi











