LONDON 9 Mac – Bintang tengah England, Alex Oxlade-Chamberlain memberi perkhabaran gembira buat penyokong Liverpool apabila beraksi pada perlawanan kompetitif pertamanya dalam tempoh 11 bulan, hari ini.
Oxlade-Chamberlain, 25, yang baru pulih daripada kecederaan lutut beraksi bersama skuad bawah 23 tahun dalam Liga Perdana Dua menentang Derby County.
Dia sepatutnya beraksi selama 45 minit di padang latihan Moor Farm tetapi dikeluarkan empat minit sebelum rehat babak pertama sebagai langkah berjaga-jaga.
Oxlade-Chamberlain sebelum itu dilihat memegang hamstring kanan beberapa kali sebelum dikeluarkan.
Bekas pemain Arsenal itu melakukan beberapa hantaran yang baik dalam tempoh singkat di atas padang.
Liverpool dalam satu kenyataan berkata, mereka akan memantau perkembangan Oxlade-Chamberlain dan tidak akan mengambil sebarang tindakan berisiko.
“Dia berdepan sedikit masalah selepas perlawanan, namun ia tiada kaitan dengan lututnya.
“Alex menikmati perlawanan ini dan gembira dapat kembali beraksi. Harap apabila dia bangun dari tidur, tiada masalah berlaku, hanya langkah berjaga-jaga,” kata jurulatih skuad bawah 23 Liverpool, Neil Critchley.
Oxlade-Chamberlain tidak beraksi buat Liverpool sejak mengalami kecederaan ligamen lutut dalam separuh akhir Liga Juara-Juara menentang AS Roma, April tahun lalu. – AGENSI











