KUALA LUMPUR 9 Mac – Beregu lelaki No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan kecemerlangan dalam kejohanan badminton All England apabila melangkah ke separuh akhir di Birmingham, awal pagi tadi.
Aaron-Wooi Yik menunjukkan semangat juang tinggi ketika mengetepikan beregu No. 12 dunia, Liu Zheng-Zhang Nan dari China 21-19,-17-21, 21-12.
Bagaimanapun, cabaran getir bakal menanti pasangan muda negara itu malam ini apabila berdepan pasangan No. 9 dunia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia.
Fajar-Rian terdahulu mara selepas mengecewakan satu lagi pasangan Malaysia yang juga naib juara Olimpik, Goh V Shem-Tan Wee Kiong 22-20, 21-12.
Selain Aaron-Wooi Yik, cabaran Malaysia dalam separuh akhir hari ini turut digalas beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai.
Soon Huat-Shevon yang mengejutkan pilihan kedua, Wang Yilyu-Huang Dongping dalam suku akhir semalam akan berdepan juara bertahan dan pilihan ketiga, Yuta Watanabe-Arisa Higashino dari Jepun. – UTUSAN ONLINE











