KUALA LUMPUR 8 Mac – MCA dan MIC tidak mempunyai sebarang masalah untuk bekerjasama dengan mana-mana parti dalam barisan pembangkang termasuk Pas asalkan ia menjurus kepada kepentingan rakyat.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong malah berkata, parti itu juga tidak mempunyai masalah dengan kerjasama antara UMNO dan Pas yang dilihat lebih kepada kerjasama mengenai bangsa dan agama.
“Pendirian MCA jelas, kita mesti pertahankan semangat Barisan Nasional (BN) dan juga pertahankan Perlembagaan Persekutuan. Apa sahaja kerjasama antara UMNO dan Pas itu adalah mengenai UMNO sebagai parti Melayu bersama Pas.
“Selagi tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, kita setuju. Dalam jangka masa ini kita nampak, ia adalah kerjasama mengenai bangsa dan agama, kami tidak ada masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.
Sementara itu, jelas Ka Siong, MCA menghormati keputusan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN mengenai tiada konsensus dicapai tentang pembubaran gabungan parti itu.
Sehubungan itu, jelas Ka Siong, beliau akan membawa perkembangan terbaharu itu untuk pengetahuan Ahli Jawatankuasa Pusat MCA yang akan bersidang pada 17 Mac depan memandangkan resolusi pembubaran BN itu dibawa sendiri oleh parti itu.
“Kita sedar dalam konsep BN sejak Perikatan lagi ia melalui proses yang dipanggil konsensus, jadi dalam keadaan tiga parti masih lagi dalam BN, apa juga mengenai masa depan dan hala tuju sebarang keputusan tidak boleh dilakukan secara sepihak (unilateral).
“Pada hari ini kami berpeluang untuk membentangkan usul (pembubaran) tetapi seperti sedia maklum mestilah ia direstui rakan-rakan komponen yang lain, jadi dalam keadaan sebarang keputusan mestilah dalam konsensus, jadi hari ini tiada konsensus yang dicapai mengenai cadangan oleh MCA,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden MIC, Tan Sri S. A Vigneswaran turut menegaskan kerjasama antara UMNO dan Pas dilihat dapat memberi kelebihan besar khususnya kepada parti itu dan BN secara keseluruhannya.
Jelas beliau, kerjasama antara UMNO dan Pas adalah untuk meningkatkan perpaduan dalam kalangan orang Melayu dan Islam, tidak memberi kesan kepada BN.
“Saya rasa tidak ada persoalan yang timbul kerana kerjasama UMNO-Pas dalam pembangkang, saya fikir semua pihak sudah setuju untuk kebaikan sejagat. Jelas sekali mereka (Pas) tidak akan bergabung dengan BN malah mereka tidak berminat untuk sertai BN.
“MIC juga sedia untuk menjalinkan kerjasama dengan Pas kerana kita lihat UMNO dan Pas telah berjaya memperoleh kira-kira 73 peratus jumlah pengundi,” katanya.











