TIDAK perlu mengembara jauh untuk menikmati keenakan masakan dari Asia Tenggara kerana juadah tersebut dihidangkan di Gajah Mada by THE MAJAPAHIT yang terletak di aras bawah pusat beli-belah MyTOWN, Cheras, Kuala Lumpur.
Restoran Gajah Mada diambil sempena nama Perdana Menteri dan pemerintah terkemuka Empayar Majapahit yang terletak di Kepulauan Jawa suatu ketika dahulu.
Pengunjung boleh mencuba aneka menu dari empat buah negara iaitu, Thailand, Indonesia, Vietnam dan Malaysia yang disediakan di premis tersebut.
Kesemua menu itu boleh dinikmati di bawah satu bumbung dalam suasana kasual serta santai dengan tema tropika yang membawa pengunjung kembali ke zaman kegemilangan kerajaan Majapahit.
Menurut Pengurus Pemasaran Restoran The Majapahit, Nelson How, Gajah Mada by THE MAJAPAHIT mula dibuka pada hujung November tahun lalu mempunyai kira-kira 80 aneka makanan dan 20 hidangan minuman.
“Kami mengekalkan keaslian rasa seperti di negara asalnya dengan menggunakan bahan-bahan yang sama supaya orang ramai boleh menikmati hidangan sebenar.
“Walaupun menghidangkan hidangan autentik dari empat negara dalam suasana yang selesa tetapi kami menawarkan harga berpatutan iaitu RM12 hingga RM35 bagi makanan dan RM4 hingga RM15 untuk minuman,” katanya ketika ditemui K2 di Gajah Mada by THE MAJAPAHIT, MyTOWN, Cheras, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Ujarnya, pengunjung boleh memulakan pengembaraan gastronomi dengan Signature Plates Gajah Mada yang menampilkan kombo juadah dari Asia Tenggara seperti nasi ayam ijo Bandung iaitu ayam digaul bersama sambal hijau manis dan masam disajikan dengan nasi kukus wangi, cucur jagung dan tempe tapai kering.
Selain itu, Vietnamese chicken chop with fried rice iaitu ayam panggang yang diperap dengan rempah istimewa dari Vietnam. Ia dihidangkan bersama nasi goreng gaya Vietnam bersama sos pencicah istimewa.
Tidak ketinggalan kari hijau, kari merah, tom yam, sambal udang, ikan talapia goreng bersama sambal kicap dan aneka pilihan sup.
Antara menu lain yang mesti dicuba ialah ayam bakar Sunda, daging lembu Sunda bersama empingan kelapa, cha gio dan kailan muda goreng Thai.
Kepada penggemar mi, anda tidak perlu khuatir kerana di Gajah Mada by THE MAJAPAHIT mempunyai aneka pilihan mi seperti pad Thai dan mi ayam pedas yang menggunakan mi kuning dengan tekstur sangat enak.
Sebelum mengakhiri pengembaraan di restoran tersebut, pengunjung perlu mencuba hidangan pencuci mulut seperti pisang beraroma bersama keju dan kacang badam, aiskrim pillow dan pulut durian.
Segarkan tekak dengan minuman yang menyamankan seperti air kelapa muda, buah soda gembira dan jus agar-agar pandan.
Bagi penggemar minuman hangat, anda boleh memilih teh tarik, kopi Vietnam, teh susu Thailand, teh botol dan teh hijau jasmin berpudina.











