PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T. Subromaniam yang akan bersara wajib esok (9 Mac), menyifatkan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dalam waktu yang singkat sebagai satu kenangan manis sepanjang beliau berkhidmat.
Bercakap kepada media sebelum Majlis Paluan Berundur di sini hari ini, Subromaniam berkata, peralihan pelaksanaan dari rejim Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ke SST dalam tempoh tiga bulan memberikan kepuasan kepadanya serta kejayaan bersama warga kerja Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“Ini adalah perjalanan 35 tahun yang mengagumkan bagi saya memandangkan saya melihat fasa GST dan sekarang SST. Bagi GST, kita mempunyai tahun yang agak lama iaitu sembilan tahun untuk mengkaji sistem cukai itu, untuk menyesuaikan proses dan prosedur. Bayangkan bagi SST pula, kita hanya mempunyai tiga bulan untuk melaksanakannya awal dan seluruh dunia memerhatikan kita.
“Saya dengan bangga boleh katakan bahawa kita telah lakukannya dengan jaya. Ini adalah saat pencapaian dan kepuasan yang besar bagi saya kerana komitmen pengurusan tertinggi dan para pegawai Kastam.
Majlis Paluan Berundur berlangsung di perkarangan JKDM turut dihadiri pegawai dan kakitangan jabatan itu. Jawatan Ketua Pengarah Kastam akan dipangku oleh Timbalan Ketua Pengarah (Percukaian dan Cukai Dalam Negeri) Kastam, Datuk Paddy Abd.Halim. – Bernama











