SUNGAI PETANI 8 Mac – Tiga laporan polis dibuat terhadap Lim Guan Eng di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini, hari ini, berikutan kenyataan bersifat perkauman yang dikeluarkan Setiausaha Agung DAP itu, dalam isu kerjasama UMNO-Pas, kelmarin.
Laporan itu dibuat oleh Kelab Ketuanan Melayu Kedah (KKMK) Cawangan Sungai Petani; Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Sungai Petani dan seorang pesara guru.
Pengerusi KMKK Cawangan Sungai Petani, Kapten (B) Md. Satar Saad berkata, kenyataan Guan Eng itu dianggap sebagai tidak berfikir panjang, berbahaya dan boleh mencetuskan ketegangan kaum di negara ini.
“Sebagai pemimpin parti politik, beliau sedia maklum tentang baik buruknya jika mengeluarkan kenyataan menyakitkan hati orang lain,” katanya ketika ditemui.
Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Sungai Petani, Norliayana Basiro pula berkata, kenyataan dibuat oleh Guan Eng itu berniat jahat dan berprasangka buruk terhadap orang Melayu.
Pesara guru, Razali Othman seterusnya meminta pihak berkuasa segera menjalankan siasatan terhadap Guan Eng itu dan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang.
Kelmarin, sebuah portal memetik kenyataan Guan Eng yang menyifatkan kerjasama UMNO dan Pas sebagai satu ‘pengisytiharan perang’ ke atas masyarakat bukan Melayu.
Bagaimanapun, selepas dikecam hebat, Setiausaha Agung DAP itu telah mengubah kenyataannya dan frasa ‘pengisytiharan perang’ ditukar kepada ‘menyasarkan’.
Sehingga kini Guan Eng masih belum meminta maaf dan pihak polis juga belum mengambil sebarang tindakan ke atas Menteri Kewangan tersebut walaupun pelbagai pihak mendesak agar kes itu disiasat di bawah Akta Hasutan. – UTUSAN ONLINE











