JOHOR BAHRU 8 Mac – Cadangan kerajaan negeri untuk mengambil alih taman tema Legoland Malaysia daripada Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) bukan sahaja tidak masuk akal tetapi mengarut, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Ini kerana, menurut bekas Menteri Besar itu, kerajaan negeri seharusnya mengurangkan berniaga dan memberi fokus kepada merejuvinasi ekonomi negeri melalui kerjasama dengan sektor swasta.
Mohamed Khaled turut mempersoalkan sama ada kerajaan negeri mampu menguruskan taman tema itu lebih baik daripada Khazanah selain instrumen yang akan digunakan kerajaan negeri untuk membeli Legoland.
Beliau berkata, laporan Bloomberg menyatakan bahawa harga jualan Legoland adalah sekitar RM1 billion termasuk hutang.
“Jika kerajaan negeri serius untuk meneruskan cadangannya itu maka perlu dilihat prestasi kewangannya sendiri dan pada masa yang sama bersifat telus terhadap analisa nilai pasaran taman tema itu.
“Kemudian, apakah instrumen yang mahu digunakan untuk membeli Legoland. Mampukah kerajaan negeri mencukupkan duit untuk membeli Legoland tanpa membebankan lagi kewangan kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata, kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan membeli beberapa aset milik Khazanah yang ingin dijual di Johor termasuk Legoland.
Bagaimanapun, katanya, itu tertakluk kepada keadaan termasuk melihat persetujuan kedua-dua pihak iaitu penjual dan pembeli.
Mohamed khaled berkata, kerajaan negeri sepatutnya menimbangkan segenap kebarangkalian yang wujud dalam mengambil keputusan untuk membeli Legoland sama ada dalam sudut nilai tambah pada ekonomi, masyarakat dan sektor pekerjaan.
“Selepas 10 bulan mentadbir Johor, tiada polisi ekonomi yang ampuh direncanakan kerajaan negeri, fokus sepatutnya diberikan kepada usaha membangunkan inisiatif ekonomi baharu bagi Johor dan bukan kepada cubaan tidak matang, tidak produktif dan mengarut untuk membeli Legoland,” katanya. – UTUSAN ONLINE











