Pasar borong diserbu imigresen, tahan 47 PATI - Utusan Malaysia

Pasar borong diserbu imigresen, tahan 47 PATI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu Pasar Borong Selayang, Gombak dan Pasar Meru, Klang yang menjadi ‘sarang’ pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu Operasi Penguatkuasaan Bersepadu di sini pagi tadi.

Pada mulanya, kehadiran pegawai imigresen tidak disedari oleh pekerja dan peniaga kerana rata-ratanya ‘berlakon’ sebagai pelanggan namun operasi tersebut berjaya dikesan oleh mereka yang kemudiannya cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, daripada 169 individu yang diperiksa, pihaknya telah menahan seramai 47 PATI yang terdiri daripada warganegara Myanmar seramai 22 orang, Indonesia (16), Bangladesh (4) dan India (5).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami telah memeriksa sebanyak 32 premis dan turut menyasarkan gerai-gerai haram di sekitar kawasan pasar dengan perniagaannya dijalankan oleh warganegara asing tanpa lesen perniagaan yang sah.

“Kesemua tahanan berusia antara 25 hingga 48 tahun manakala seramai 68 individu daripada yang diperiksa adalah pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairul menambah, dalam kedua-dua operasi tersebut, pihaknya turut menahan seramai 14 majikan warganegara tempatan yang didapati menggajikan PATI dan tindakan seterusnya adalah pihak Imigresen akan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengesan majikan lain dan pemilik premis yang menyewakan premis mereka kepada warga asing.

“Kesemua tahanan warga asing yang ditahan dikenal pasti tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan kesalahan lain yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Mereka telah dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen di Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini