KASHMIR 7 Mac – Seorang maut manakala 17 lagi cedera apabila sebutir bom tangan meledak di sebuah perhentian bas, di bandar Jammu dan Kashmir di bawah pentadbiran India, hari ini.
Jurucakap polis, MK Sinha yang dipetik portal RT sebagai berkata, bom tangan itu dilontar dari luar perhentian bas sebelum bergolek ke bawah sebuah bas dan meletup, seorang daripada mangsa meninggal dunia di hospital.
“Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital dan Kolej Perubatan Kerajaan di Jammu dengan dua mangsa dalam keadaan kritikal.
“Serangan ini jelas bertujuan mengganggu keamanan negeri ini dan kita sedang menyiasat serta mengumpul bukti,” katanya.
Sinha menambah, polis telah mengepung kawasan itu dan masih belum ada sebarang suspek ditahan berhubung kejadian itu.
Menurut media tempatan, letupan bom itu mengakibatkan banyak paku berterbangan ke dalam bas.
Serpihan bom itu juga memecahkan tingkap bas selain merosakkan beberapa kenderaan yang diparkir berhampiran.
Serangan itu berlaku di tengah-tengah ketegangan antara India dan Pakistan yang memuncak selepas 40 tentera India maut dalam serangan bunuh diri, 14 Februari lalu.
Sementara itu, seorang lagi jurucakap polis berkata, bom itu dilempar orang tidak dikenali dan letupan tersebut mengakibatkan empat orang dalam keadaan kritikal.
“Bas itu difahamkan hendak bertolak ke bandar Pathankot di Punjab,” katanya.–AFP/AGENSI











