Sampaikan berita tanpa penat - Utusan Malaysia

Sampaikan berita tanpa penat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hai semua, anda sedang menyaksikan program berita berbahasa Inggeris. Saya ialah pembaca berita AI berbahasa Inggeris anda di Beijing.

“Ini merupakan hari pertama saya di agensi berita Xinhua. Suara yang kedengaran adalah milik Zhang Zhao iaitu pembaca berita sebenar Xinhua. Saya akan bekerja menyampaikan informasi kepada anda tanpa penat.”

Itulah ungkapan yang keluar daripada mulut penyampai berita lelaki robotik berpenampilan kemas menerusi saluran berita milik pemerintah China, Xinhua.

Memuatkan artikel berkaitan…

Berita ringkas yang berlangsung selama dua minit itu berlangsung sempurna dengan beberapa laporan disampaikan tanpa sebarang kesalahan.

Penyampai berita realiti maya berkenaan dihasilkan menerusi teknologi Kecerdasan Buatan (AI) iaitu kejuruteraan mesin pintar yang mampu melakukan fungsi dan ciri-ciri pemikiran manusia.

Menerusi teknologi AI, penyampai berita berbentuk animasi itu mampu meniru dengan sempurna suara, ekspresi wajah dan gerak tubuh manusia sebenar ketika di depan skrin.

“Penyampai berita yang dapat disaksikan di televisyen laman web ini boleh membaca tanpa sebarang gangguan. Ia telah membawa satu pengalaman baharu dalam menonton berita kepada masyarakat di China.

“Penyampai berita lelaki AI telah bersiaran lebih 10,000 minit pada tahun lalu merentasi 3,400 laporan berita tanpa sebarang masalah atau gangguan,” ungkap blog berita Xinhua yang dipetik oleh agensi berita Reuters.

Lancar

Penyampai berita AI lelaki itu yang diperkenalkan sejak tahun lalu terdapat dalam dua versi iaitu berbahasa Mandarin dan berbahasa Inggeris. Penyampai AI berbahasa Mandarin menyerupai pembaca berita asal Xinhua, Qiu Hao manakala penyampai AI lelaki berbahasa Inggeris meniru suara penyampai agensi itu, Zhang Zhao.

Kejayaan Xinhua sebagai agensi berita pertama di dunia yang berupaya menampilkan penyampai AI itu dilaporkan media antarabangsa sekitar November tahun lalu.

Teknologi penyampaian berita AI tersebut dibangunkan oleh agensi berita Xinhua dengan kerjasama enjin carian internet tempatan, Sagou.

Kedua-dua syarikat berkenaan juga dijangka menjadi pendahulu kepada versi siaran berita yang disampaikan menerusi platform media sosial, WeChat dan CNC.

Terbaharu pada 3 Mac lalu, Xinhua telah memperkenalkan pembaca berita AI wanitanya yang dikenali sebagai Xin Xiaomeng.

Mengenakan pakaian blaus berona merah jambu dengan potongan rambut pendek, pembaca berita diilhamkan daripada penyampai berita sebenar, Qu Meng itu mampu bertutur dengan lancar dalam bahasa Mandarin.

Menurut Xinhua, penyampai berita AI boleh mengungkapkan setiap perkataan yang dimasukkan oleh editor berita ke dalam sistem khas.

Jelasnya, Xinhua juga mengguna pakai teknologi suara tiruan Google Duplex bagi memastikan suara penyampai berita AI kelihatan lebih lancar dan sempurna.

“Teknologi ini membantu memastikan perkataan bahasa Inggeris disebut lebih tepat. Ia juga mampu mengurangkan suara janggal dan kedengaran robotik,” ujarnya.

Menariknya, Xinhua menggunakan imej tubuh badan manusia sebenar sebagai lapisan tetap penyampai berita AI. Bahagian mulut dan muka pula dihidupkan menggunakan teknologi animasi.

Menerusi gabungan teknologi ini, kerja-kerja memprogramkan penyampai berita AI menjadi lebih cepat berbanding menggunakan imej janaan komputer (CGI).

Xinhua memaklumkan, penyampai berita AI boleh bekerja selama 24 jam tanpa henti menerusi saluran berita web yang sentiasa pantas.

Teknologi AI

Ini sekali gus dapat mengurangkan kos produksi serta meningkatkan kecekapan penyampaian berita kepada penonton.

“Penyampai berita AI sangat berguna apabila terdapat sesuatu berita penting yang perlu dikeluarkan dengan kadar segera.

“Ia juga sesuai digunakan oleh penyedia platform laporan berita televisyen dan web yang mempunyai kekangan dalam aspek kewangan,” katanya.

Menurut laporan Forbes, China telah mendahului negara-negara lain dalam teknologi AI dengan 85 peratus syarikat di negara republik itu terlibat secara aktif.

Angka ini jauh meninggalkan Amerika Syarikat di tempat kedua dengan 51 peratus syarikat terlibat dan Perancis serta Jerman dengan 49 peratus.

Penguasaan tersebut dikaitkan dengan Rancangan Pembangunan Kecerdasan Buatan Generasi Baharu yang diperkenalkan oleh pemerintah China pada tahun 2017.

Teknologi berkenaan telah digunakan secara meluas dalam beberapa industri seperti kesihatan, media, telekomunikasi, perkhidmatan kewangan, tenaga dan rekreasi.

Hakikatnya, watak-watak AI yang muncul menerusi saluran arus perdana di China bukanlah sesuatu yang baharu.

Sebelum ini, beberapa watak seperti bintang pop maya popular, Hatsune Miku dan model-model CGI dalam Instagram telah mengecapi populariti luar biasa.

Reaksi

Pengenalan penyampai berita AI telah mendapat reaksi yang pelbagai dalam kalangan penonton dan ahli akademik tempatan serta luar negara.

Rata-rata pengguna media sosial Weibo, meluahkan rasa kurang berpuas hati dengan penyampaian berita yang disampaikan menerusi teknologi AI.

“Saya rasa penyampai berita AI sangat comel dan hebat. Namun, kata-katanya tidak membuatkan saya rasa teruja. Tidak ada unsur wow,” tulis seorang pengguna Weibo.

Menurut seorang pakar tempatan, penggunaan teknologi AI dalam penyampaian berita memberi peluang kepada pemerintah menyerang mereka yang bermasalah tanpa penyampainya dikecam khalayak.

Di China, akhbar sentiasa ditapis sekali gus menyukarkan pembaca mendapatkan laporan yang meluas terhadap beberapa isu termasuk penindasan masyarakat Muslim Uighur.

Jelasnya, langkah memperkenalkan pembaca berita ‘palsu’ untuk membaca propaganda pemerintah merupakan sesuatu yang sangat mengerikan.

“Kesan sebenar kepada masyarakat adalah apabila penyampai berita AI menyebarkan sesuatu yang tidak benar. Ia sukar untuk diadili,” ujarnya.

Sementara itu, profesor di University of Oxford, Britain, Michael Wooldridge berpendapat, penyampai berita AI bergelut untuk kelihatan lebih semula jadi.

Jelasnya, ia kelihatan seperti tersekat pada uncanny valley iaitu istilah yang sering digunakan bagi menggambarkan robot dan avatar menyerupai manusia yang nampak tidak realistik.

“Ia sangat kaku, berseorangan dan tidak ada unsur penekanan pada perkataan tertentu,” ujarnya.

Beliau juga menegaskan bahawa individu yang membaca berita menerusi televisyen secara tradisinya dianggap sebagai tokoh yang boleh dipercayai.

“Sekiranya penonton hanya melihat animasi maka mereka akan hilang kepercayaan terhadap penyampai berita,” tambahnya kepada BBC.

Berbeza pula dengan Profesor Pembuatan Robotik di University of Sheffield, Britain, Noel Sharkey yang berpendapat, usaha Xinhua itu sebagai satu langkah permulaan yang baik.

“Kita akan melihat penyampai berita AI ini ditambah baik dari masa ke masa. Masalahnya ketika ini, penonton mudah berasa bosan melihat dan mendengarnya,” ujarnya.

Xinhua menjadi agensi berita pertama di dunia yang berjaya menampilkan penyampai berita robotik menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini