KUALA LUMPUR 7 Mac – Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp) membuktikan keazaman tinggi untuk mewujudkan tadbir urus bebas rasuah melalui pematuhan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023.
MRT Corp berkata, usaha itu diterjemahkan menerusi kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif MRT, Abdul Yazid Kassim bersama delegasi MRT Corp ke pejabat Pusat Tadbir Urus, Integriti dan Anti-Rasuah Negara (GIACC) di Putrajaya pada 28 Februari lalu.
“Dalam pertemuan ini, hala tuju dalam mematuhi NACP telah dibincangkan bersama Ketua Pengarah GIACC, Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
“Abu Kassim memuji MRT Corp kerana menjadi syarikat milik kerajaan (GLC) pertama bertemu GIACC berkenaan inisiatif NACP yang ditubuhkan oleh GIACC,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu, MRT Corp akan mengamalkan inisiatif selanjutnya dalam pengurusan tadbir urus yang baik dan membasmi amalan rasuah dalam sesebuah organisasi.
“Sejak penubuhannya, MRT Corp sentiasa mematuhi inisiatif integriti dan pengauditan integriti sentiasa dilakukan dalam mematuhi ISO37001:2016 sistem pengurusan anti rasuah.
“Selain itu, MRT Corp sentiasa menjadikannya satu kepentingan dalam memastikan seluruh warga kerja mematuhi semua polisi dan prosedur,” katanya.
NACP yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr, Mahathir Mohamad pada Januari lalu merangkumi 115 inisiatif anti rasuah dalam usaha memerangi rasuah termasuk menggariskan had kuasa dalam memisahkan pengurusan kerajaan daripada pengaruh politik. – UTUSAN ONLINE











