PPR Taman Manggis: Tidak berperikemanusiaan - Shahril Sufian - Utusan Malaysia

PPR Taman Manggis: Tidak berperikemanusiaan – Shahril Sufian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 7 Mac – Apakah wajar penyewa Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis diusir keluar tanpa diberi ruang berbincang dan mengambil barang keperluan sehingga terpaksa tidur di pekarangan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar).

Persoalan itu dilontarkan Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan yang kecewa dengan layanan Kerajaan Negeri Pulau Pinang terhadap sekumpulan penyewa PPR tersebut.

Beliau malah menyifatkan tindakan mengusir tanpa mengambil kira situasi dan masalah yang dihadapi penyewa itu sebagai tidak berperikemanusiaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya juga tertanya-tanya di mana exco perumahan? Di mana wakil-wakil rakyat kerajaan? Malam semalam sewaktu keluarga-keluarga ini diusir, yang datang membantu dan menenangkan adalah Pemuda UMNO Pulau Pinang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Yang pembangkang, yang tiada kuasa yang terpanggil, yang berkuasa dan mengusir hanya dabik dada. Saban hari kita diingatkan, kerajaan PH (Pakatan Harapan) ini seakan bukan kerajaan untuk rakyat, tetapi untuk diri dan agenda sendiri,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebook beliau hari ini.

Semalam, kira-kira 22 penyewa diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing selepas hilang kelayakan menduduki rumah PPR termasuk melebihi kemampuan, mempunyai rumah lain dan berkahwin dengan warga asing.

Penyewa kemudiannya terpaksa menjadikan perkarangan Komtar sebagai tempat tinggal sementara selepas kediaman itu dikunci Bahagian Perumahan kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Shahril Sufian turut melontarkan persoalan sama ada Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengambil kira situasi, masalah serta kesukaran yang dihadapi oleh penyewa sehingga menyebabkan berlakunya pelanggaran syarat-syarat sewaan.

“Sekiranya penyewa tidak mampu mencapai perkara seperti yang diharapkan oleh kerajaan negeri, apakah bentuk penyelesaian yang telah diambil oleh kerajaan negeri bagi membantu golongan ini?

“Sekiranya dikatakan sebab pengusiran adalah untuk menempatkan 400 buah keluarga miskin yang baharu, tempoh 10 tahun pentadbiran adalah lebih daripada cukup untuk menyediakan PPR yang baharu.

“Bukankah sebelum ini kerajaan DAP Pulau Pinang mendakwa telah membina rumah mampu milik sebanyak empat kali ganda daripada kerajaan BN (Barisan Nasional)?” soal beliau.

Shahril Sufian sekali lagi melontar pertanyaan sama ada harga rumah mampu milik antara RM42,000 hingga RM400,000 yang disediakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang benar-benar mampu dimiliki golongan berpendapatan rendah di negeri itu.

“Sedangkan di ibu negara, harga rumah mampu milik kategori PPR yang ditetapkan adalah di bawah RM35,000,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini