PETALING JAYA 7 Mac – Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) meneruskan usaha menjadikan daerah itu sebagai bandar raya hijau dan mampan melalui penganjuran program Hari Tanpa Kenderaan 2019, Ahad ini.
MBPJ dalam kenyataannya di sini hari ini berkata, program itu akan diadakan di Taman Tasik Bandaran Kelana Jaya, di sini dari pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari.
“Ini merupakan usaha kami untuk melestarikan bandar hijau di samping mengajak penduduk tempatan bersama-sama memelihara tenaga dan sumber bagi mengurangkan penggunaan kenderaan untuk mengawal pencemaran udara.
“Penganjuran program edisi pertama bagi tahun ini merupakan sebahagian inisiatif MBPJ menggalakkan masyarakat menukar mod perjalanan daripada kenderaan bermotor kepada ‘green active transportation’ seperti berbasikal dan berjalan kaki,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pelbagai aktiviti menarik akan diadakan antaranya PJ smart ride, purple walk, pertandingan memancing, permainan tradisional, mewarna dan santai budaya yang sesuai untuk seisi keluarga.
“MBPJ berharap masyarakat menyokong usaha ini dalam merealisasikan matlamat menjadikan Petaling Jaya sebagai sebuah bandar raya berkarbon rendah, hijau dan bebas halangan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











