SUBANG JAYA 7 Mac – Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menganjurkan program Speaker Corner @ Sembang Santai MPSJ yang bertujuan meningkatkan keyakinan diri dalam kalangan warga kerja pihak berkuasa tempatan itu.
Program julung kali yang diadakan di kafe Ibu Pejabat MPSJ, di sini semalam dirasmikan oleh Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan.
Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, program itu merupakan platform untuk kakitangan di setiap jabatan MPSJ lebih bersedia dalam pengucapan awam dengan menyampaikan topik yang bersesuaian.
Katanya, ia dianjurkan secara bergilir-gilir mengikut jabatan pada setiap Rabu minggu pertama setiap bulan.
“Program ini diharap dapat membina keyakinan diri kakitangan melalui pengucapan awam dan perkongsian idea serta pengalaman secara santai.
“Diharapkan pelaksanaan program ini akan menjadi medan perkongsian ilmu pengetahuan sekali gus meningkatkan keyakinan diri warga kerja MPSJ,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











