TAWAU – Seorang eksekutif pengurusan, dihukum penjara 17 tahun dan denda RM39,000 oleh Mahkamah Sesyen Tawau hari ini selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga mengakibatkan empat mati dan seorang cedera parah di Jalan Chong Thien Vun dekat sini, pada Julai tahun lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen, Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman itu terhadap Olivia Chong Oi Yun, 35 selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Dalam keputusannya, Awang Kerisnada berkata hukuman itu mewakili kepentingan awam serta denyut nadi keluarga mangsa yang kehilangan anak serta suami akibat kemalangan tersebut.
“Tertuduh merupakan seorang yang tidak bertanggungjawab kerana perbuataannya minum alkohol sehingga mabuk menyebabkan kemalangan berlaku pada jam 1.20 pagi, yang mana ketika itu tidak banyak kereta di jalan raya dan dalam kes ini ada lima mangsa, dengan empat terbunuh seorang cedera parah.
“Tiga daripada empat yang maut itu mati di tempat kejadian, manakala seorang lagi mati di hospital, manakala mangsa kelima yang dahulunya nya aktif bersukan mendapat kecederaan parah, kini menjadi seorang orang kurang upaya… masa depan serta keseronokan hidup mangsa dirampas tertuduh selepas dilanggar,” katanya.
Bagi pertuduhan pertama mengakibatkan kematian, Olivia yang bekerja di sebuah syarikat swasta di sini dihukum penjara 10 tahun dan denda RM20,000, serta pertuduhan kedua menyebabkan kecederaan parah pada mangsa, hukumannya penjara tujuh tahun serta denda RM19,000.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan berasingan bermula dari tarikh jatuh hukum, menjadikan tertuduh perlu dipenjara selama 17 tahun, manakala jika tertuduh gagal membayar denda, boleh dipenjara sehingga setahun.
Ketika rayuan, tertuduh yang diwakili peguam Abdul Ghani Zelika memohon agar mahkamah menjatuhi hukuman munasabah kerana anak guamnya insaf selain memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sepanjang kes berlangsung.
Namun, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Muhammad Fitri Wan Azizan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum dengan mengambil kira beberapa faktor merangkumi keseriusan kesalahan dilakukan sehingga menyebabkan kematian dan cedera parah serta tertuduh memandu dalam keadaan mabuk serta laju.
Di samping itu hukuman perlu mengambil kira kesan kemalangan terhadap waris mangsa dan Tawau merekodkan kemalangan maut tertinggi di Sabah sejak 2017, serta hukuman itu perlu sebagai mesej dan pengajaran kepada orang awam. – Bernama











