IPOH 7 Mac – Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) digesa menyegerakan permohonan untuk mendapatkan geran RM10,000 bagi melaksanakan projek yang menjana pendapatan penduduk, keceriaan dan keselamatan kampung memandangkan peruntukan telah disediakan untuk 2019.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, kelewatan merebut peluang itu akan menjejaskan pembangunan aktiviti MPKK kepada masyarakat kampung.
Katanya, MPKK telah diberi penerangan mengenai geran itu dan dibimbing untuk menyediakan kertas permohonan menerusi kursus induksi yang telah dibuat oleh kementerian kepada MPKK di Melaka, Johor dan Kedah.
“Permohonan geran diharap dapat disegerakan kerana sehingga kini kementerian masih belum menerima permohonan daripada MPKK,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program interaksi menteri itu bersama MPKK serta merasmikan penutupan kursus induksi MPKK Perak di sini hari ini.
Kursus dua hari yang bermula semalam melibatkan 1,658 pengerusi dan setiausaha dari semua 12 daerah di Perak iaitu Larut, Matang dan Selama; Muallim, Perak Tengah; Kerian; Kinta; Kuala Kangsar; Bagan Datuk; Batang Padang; Kampar; Hulu Perak; Hilir Perak; Manjung.
Kursus induksi oleh kementerian itu menerusi Institut Kemajuan Desa adalah wajib kepada semua MPKK seluruh negara bertujuan memberi pendedahan, pengetahuan serta pemahaman kepada mereka berkaitan peranan dan tanggungjawab dalam mengurus desa dan masyarakat. – BERNAMA











