DURHAM 7 Mac – Hasrat seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun untuk ‘menghias’ tangan dan dadanya dengan inai hitam bertukar mimpi negeri apabila tangan dan dadanya itu bengkak dan melepuh teruk akibat kesan sampingan inai yang dipakainya ketika bercuti di Salou, Sepanyol, Ogos lalu.
Lapor Mail Online, ibu kanak-kanak itu, Leanne Richardson, 31, mendakwa yang dia ‘dihantui’ dengan keputusannya membenarkan anak lelakinya itu mengenakan tatu itu.
Menceritakannya, Richardson memberitahu, dia membenarkan Owen untuk melukis tiga tatu sementara dengan harga 30 Euro (RM189) itu sehari sebelum mereka menghabiskan percutian.
“Owen begitu teruja apabila dapat melukis dua tatu naga di tangan kanan dan simbol puak di dadanya yang mengambil masa kira-kira 40 minit untuk disiapkan,” katanya.
Bagaimanapun, kira-kira seminggu kemudian, tatu itu bertukar menjadi bonjolan seperti dituang minyak panas dipercayai akibat kesan alergik. Kanak-kanak itu kemudian dikejarkan ke hospital dan ditempatkan di unit kebakaran.
Doktor yang memeriksa Owen memberitahu, ia adalah kesan daripada kandungan paraphenylenediamine (PPD) iaitu sejenis bahan kimia dengan toksik yang tinggi. -AGENSI











