PORT DICKSON – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan merampas 8,200 liter diesel bernilai RM17,876 dari sebuah premis di Jalan Lukut- Sepang dekat sini semalam.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP negeri, Zubir Hamsa berkata, diesel itu dirampas selepas seramai 11 pengawai penguat kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan melakukan serbuan ke atas premis itu kira-kira pukul 10 pagi.
“Premis itu disyaki memiliki barang kawalan diesel tanpa kebenaran. Operasi dijalankan berdasarkan hasil risikan selama sebulan ke atas premis terbabit.
“Pemeriksaan menunjukkan syarikat ini ada dalam milikannya minyak diesel yang disimpan dalam beberapa buah tangki dan tong drum,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Zubir berkata, sebanyak 8,200 liter diesel itu dipercayai disimpan bagi kegunaan sendiri dan untuk dijual kepada pihak ketiga oleh premis berkenaan.
Kata beliau, kes itu disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan pihak yang membekalkan barang kawalan itu kepada premis tersebut akan turut disiasat.
Tegas beliau, tindakan boleh diambil ke atas pembekal diesel berkenaan termasuk pembatalan lesen jika sabit kesalahan. – K! ONLINE










