PASIR GUDANG – Lima pelajar di dua buah sekolah Taman Pasir Putih, di sini mengalami simptom muntah-muntah manakala seorang pengsan, selepas berlaku tumpahan bahan kimia di kawasan sungai berhampiran dalam kejadian hari ini.
Kesemua yang terjejas dibawa ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru untuk rawatan lanjut.
Komander Operasi Bomba dan Penyelemat, Penguasa Bomba Lokman Hakim Sulaiman dalam satu kenyataan memaklumkan, menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 5 pagi.
Menurutnya, empat pegawai bersama pasukan Hazmat dibantu Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang bergegas ke lokasi sejurus panggilan.
“Ia selepas terdapat bau gas dipercayai bahan kimia di sungai berdekatan Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Pasir Putih,” katanya.
Difahamkan, bahan kimia tersebut dipercayai gas disyaki jenis Metana.
Lokman berkata, pengosongan kawasan dilakukan melibatkan lingkungan jarak sehingga 500 meter selain lebih 1,400 pelajar sekolah dipindahkan. – K! ONLINE










