Pemikiran Guan Eng membahayakan Malaysia - Reezal Merican - Utusan Malaysia

Pemikiran Guan Eng membahayakan Malaysia – Reezal Merican

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 7 Mac – Kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bahawa Kerjasama UMNO dan Pas seolah-olah satu pengisytiharan ‘perang’ terhadap masyarakat bukan Melayu disifatkan sebagai cauvinis dan rasis.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, Guan Eng nampaknya masih hidup dalam dunia politik keluarga dan parti DAP yang terlalu rasis.

Beliau malah menganggap apa yang diperkatakan oleh Menteri Kewangan itu merupakan manifestasi pemimpin DAP yang penuh cauvinisme dan tidak pernah senang dengan gerak perpaduan orang Melayu.

Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas merasakan sikap yang dipamerkan Guan Eng itu boleh merosakkan keharmonian kaum di Malaysia.

“Penyatuan fikrah orang Melayu terlalu pantas dianggap sebagai ‘gendang perang’ sedangkan bukan itu niat asalnya. Pemikiran Guan Eng ini cukup bahaya kepada Malaysia.

“Guan Eng menolak sama sekali kesatuan orang Melayu sebagai tiang seri dan teras keharmonian negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebuah portal semalam memetik kenyataan Guan Eng yang menyifatkan kerjasama UMNO dan Pas sebagai satu ‘pengisytiharan perang’ ke atas masyarakat bukan Melayu.

Walau bagaimanapun, Guan Eng selepas itu telah mengubah kenyataannya dan frasa ‘pengisytiharan perang’ kepada ‘menyasarkan’.

Reezal Merican mempersoalkan sejak sejak bila perpaduan orang Melayu mahu ‘memerangi’ kaum lain kerana bukankah keharmonian Malaysia selama ini sedikit sebanyak berteraskan kepada perpaduan orang Melayu yang merupakan penduduk majoriti.

“Pandangan dangkal dan berbahaya seperti ditampilkan Guan Eng ini ibarat menolak semangat Perlembagaan Persekutuan dan asas kepada perpaduan negara.

“Ini ‘penyakit’ dan ‘kudis’ kepada Malaysia baharu. Kita boleh nampak jelas punca kudis politik degil dan jahat ini. Kenyataan beliau bukan kenyataan seorang ‘pemimpin’, sebaliknya kenyataan yang sarat dengan niat tersirat untuk menggalakkan perpecahan orang Melayu,” katanya.

Tambahnya, rata-rata mengetahui perpecahan orang Melayu akan menguntungkan siapa dan juga tahu ‘orang’ mana yang bertepuk tangan jika orang Melayu berpecah.

“Kita juga faham, lebih celupar dan cauvinis, maka lebih ‘hero’ seseorang itu di mata ‘komrad’ mereka. Guan Eng perlu lebih hati-hati dengan kenyataan yang dibuat. Jangan terlalu celupar. Jangan hidup di dalam dunia politik sempit dan terlalu cauvinis,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini