GUA MUSANG – Seorang wanita maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Kilometer 30, Jalan Gua Musang-Jeli, di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 7.50 pagi, mangsa, Mek Zainun, 59, yang menunggang motosikal jenis Honda Wave mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Gua Musang.
Manakala, pemandu kereta Proton Iswara, Abdullah Mat, 57, hanya mengalami kecederaan ringan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave dari arah jalan Gua Musang-Jeli telah membuat pusingan U secara tiba-tiba.
Katanya, akibat jarak yang terlalu dekat, pemandu Proton Iswara tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian kiri motosikal yang dipandu mangsa.

“Mangsa cedera parah di bahagian kepala selepas terjatuh akibat tidak memakai topi keledar.
“Mangsa yang masih bernyawa telah dibawa ke Hospital Gua Musang, namun meninggal dunia ketika menerima rawatan. Pemandu Proton Iswara yang cedera juga menerima rawatan di hospital sama,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Mohd. Taufik, mangsa yang maut itu berasal dari Kampung Kuala Tol di sini tidak mempunyai lesen memandu.
Katanya, proses bedah siasat dilakukan di Hospital Gua Musang dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











