BERLIN 6 Mac – Pengendali Jerman, Joachim Low membuat pengumuman mengejut apabila memberitahu jentera yang menang pada Piala Dunia 2014 seperti Jerome Boateng, Mats Hummels dan Thomas Mueller mungkin tiada dalam perancangannya.
Low mengumumkan trio Bayern Munich itu tiada dalam perancangannya sebelum pertembungan persahabatan menentang Serbia di Wolfburg dalam tempoh dua minggu ini dan kelayakan Euro 2020 menentang Belanda di Amsterdam, 24 Mac nanti.

“Saya sangat sedih dengan berita ini kerana ia menjadi satu kebanggaan untuk tampil mewakili negara. Saya faham dan hormat dengan keputusan ini.
“Saya pernah menjadi pemain muda dan bergantung kepada pemain yang lebih tua untuk memberi ruang kepada saya, tetapi sudah tentu, saya harap kami boleh meninggalkannya (Jerman) dengan cara yang berbeza,” ujar Boateng menerusi media sosial, Facebook.
Hummels dan Boateng masing-masing berusia 30 tahun, manakala Muller, 29, melakukan 246 penampilan antara mereka bersama Jerman dan berada dalam hati rakyat negara itu selepas membantu Die Mannschaft menjulang trofi Piala Dunia 2014 di Brazil.
Bagaimanapun, pada edisi lalu di Rusia, Jerman mengalami mimpi ngeri apabila tersingkir seawal peringkat kumpulan dengan barisan pemain yang tidak banyak dilakukan perubahan berbanding skuad 2014.
“Tahun ini menjadi titik permulaan kepada skuad Jerman. Ia amat penting sama sekali buat saya secara peribadi untuk menjelaskan pelan kepada pemain dan pengurus Bayern Munich,” kata Low yang sanggup terbang ke Munich bertemu dengan trio terbabit. – AFP











