Lagi pencerobohan nelayan Vietnam - Utusan Malaysia

Lagi pencerobohan nelayan Vietnam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN 6 Mac – Lagi pencerobohan bot nelayan Vietnam di perairan negara, kali ini melibatkan sebuah bot bersama seorang tekong dan tiga awak-awak yang ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), awal pagi semalam.

Kesemua nelayan asing berusia 21 hingga 26 tahun itu ditahan pukul 1.20 pagi, kira-kira 47 batu nautika dari Tanjung Mat Amin, Kemaman.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, bot terbabit ditahan ketika kapal peronda Maritim Malaysia sedang melakukan rondaan di sekitar perairan Terengganu dan mengesan sebuah bot nelayan yang cuba melarikan diri.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu gagal mengemukakan lesen, dokumen pengenalan diri yang sah, permit kerja yang meragukan serta bot ini juga disyaki bot klon,” katanya di sini hari ini.

Rashidilhadi berkata, lebih kurang 20 Kilogram ikan Yu (jerung) juga ditemukan di dalam bot berkenaan dan bot ini dipercayai baru sahaja memasuki perairan Malaysia memandangkan hasil tangkapan ikan tidak banyak.

Katanya, bot berserta hasil tangkapan dan peralatan menangkap ikan dibawa ke jeti Zon Maritim Kemaman untuk siasatan lanjut.

Jelas beliau, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 yang memperuntukan denda tidak melebihi RM1 juta bagi pemilik dan tekong bot manakala RM100,000 bagi awak-awak atau penjara tidak melebihi dua tahu jika disabitkan kesalahan.

Menurutnya, Maritim Malaysia cawangan Terengganu percaya masih ada lagi nelayan asing yang sengaja memasuki perairan Malaysia mencuri hasil laut untuk dibawa pulang ke negara mereka.

” Rondaan dan penguatkuasaan dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan perairan negara sentiasa selamat dan terpelihara,” katanya.

Tambahnya, sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh disalurkan ke talian MERS 999 atau Zon Maritim Kemaman, 09-8582825. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini