SEREMBAN 6 Mac – Para penyokong PKR diminta tidak berbalah mengenai siapa calon yang akan dipilih bertanding untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 13 April ini.
Pengerusi PKR negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, tumpuan penuh sepatutnya diberikan kepada gerak kerja yang dapat membantu Pakatan Harapan (PH) memenangi kerusi yang dimenangi Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan selama tiga penggal itu.
Beliau yang juga Menteri Besar berkata, pemilihan calon memerlukan kebijaksanaan dengan mengambil kira pelbagai faktor.
“Jadi saya harap para penyokong faham bahawa ramai yang menawarkan diri menjadi calon dan bukan mudah untuk kepimpinan memilih mereka yang boleh memenangi kerusi tersebut.
“Saya juga harap penyokong dan pengundi memahami bahawa ada strategi yang perlu dijalankan untuk memastikan kemenangan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sesi Pengundian Rumah Mampu Milik Type A di Taman Bukit Sarimban dekat Sikamat di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas usaha pelbagai pihak meminta calon pilihan mereka diberi peluang bertanding dalam PRK DUN Rantau.
Selain menyokong calon mereka, bantahan turut disuarakan terhadap individu tertentu daripada dipilih menjadi calon.
Antaranya, kumpulan 11 pengerusi dan setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam DUN Rantau yang menolak Timbalan Ketua PKR Cabang Rembau, Dr. S. Streram sebagai calon.
Aminuddin memberi jaminan bahawa semua pandangan akan diambil kira oleh kepimpinan parti sebelum keputusan muktamad dibuat.
“Kita mengambil kira pandangan di bawah dan berbincang semua aspek serta melihat potensi calon untuk memang. Itu yang penting,” katanya. – UTUSAN ONLINE











