KUALA LUMPUR 6 Mac – Penghinaan dan sebarang unsur yang menimbulkan kebencian terhadap agama atau perkauman merupakan satu kesalahan jenayah.
Sehubungan itu, Penganalisis Politik dan Pengamal Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata undang-undang yang akan digubal berhubung kesalahan tersebut perlu diperincikan dan jelas supaya tidak menimbulkan banyak persoalan terhadap tuduhan yang dikemukakan.
“Undang-undang berkaitan penghinaan agama tidak berkesan jika mempunyai banyak ‘lubang’ sehingga menyebabkan ia berpanjangan dan pesalah membuat rayuan. Akhirnya susah pula jatuh hukum.
“Berkesan atau tidak (undang-undang), saya rasa bergantung kepada undang-undang yang akan digubal nanti. Ia perlu jelas dan tidak banyak ruang untuk persoalkan tuduhan. Jadi lebih mudah dan cepat untuk dihukum serta perbicaraan tidak panjang,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.
Kerajaan kini dalam proses menggubal pindaan kepada undang-undang untuk memastikan peruntukan mengenai sebarang ancaman terhadap perpaduan dan keselamatan negara menjadi lebih efektif.
Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, penggubalan itu meliputi undang-undang yang perlu untuk membendung dengan pantas dan berkesan penyebaran maklumat palsu dan berbaur perkauman. – UTUSAN ONLINE











