KUALA LUMPUR 6 Mac – Kerjasama rasmi antara UMNO dan Pas tidak boleh dilihat daripada sudut yang sempit dengan menilai sejarah permusuhan antara dua parti tersebut.
Penyatuan dua parti yang bertunjangkan perjuangan membela agama, bangsa dan negara itu dilihat lebih jelas matlamatnya, berbanding kerjasama berteraskan agenda politik serta saling mempergunakan.
Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, masyarakat perlu bersatu tanpa mengira fahaman politik susulan daripada kerjasama dua parti politik itu.
“Usahlah kerana kepentingan diri yang sempit, kita sanggup meruntuhkan perpaduan yang telah lama terbina dan menggadai kuasa serta maruah yang ada.
“Perkasa sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang banyak memperjuangkan hak agama dan bangsa amat gembira dengan usaha murni UMNO serta Pas itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, UMNO dan Pas secara rasmi mengumumkan kerjasama rasmi antara kedua-dua parti bagi tujuan penyatuan ummah.
Kerjasama itu merupakan satu ikatan yang menyatukan ummah tanpa meminggirkan keseluruhan masyarakat termasuk kaum Cina dan India. – UTUSAN ONLINE











