Mohamad Yusop terima pingat tertinggi JBPM - Utusan Malaysia

Mohamad Yusop terima pingat tertinggi JBPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 6 Mac – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini menganugerahkan Pingat Kebesaran jabatan itu kepada mantan Timbalan Ketua Pengarah, Mohamad Yusop Hamzah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mohamad Yusop yang telah 30 tahun berkhidmat telah bersara pada 1988 merupakan pengasas penyatuan jabatan bomba pada 1976.

Penganugerahan pingat bintang jasa bomba itu disampaikan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohammad Hamdan Wahid di kediaman Mohamad Yusof di Taman Setapak di sini pada pukul 12 tengah hari tadi.

Mohammad Hamdan berkata, penganugerahan tertinggi ini diberikan kepada anggota yang banyak menabur khidmat bakti kepada jabatan tersebut.

“Hari ini kita anugerahkan kepada Mohamad Yusop kerana jasanya kepada JBPM sehingga kemajuan bomba sekarang.

“Insan penuh karismatik ini dilahirkan pada 2 Jun 1933 di Sabak Bernam,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan anugerah pingat itu kepada Mohamad Yosuf hari ini.

Menurut Mohammad Hamdan, dia menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu di Sabak Bernam sebelum melanjutkan pelajaran ke Sekolah Inggeris Jalan Pasar di sini.

Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Victoria Institution Kuala Lumpur sehingga ke peringkat Cambridge Oversea School Certificate.

Pada 1 Disember 1957, beliau menyertai perkhidmatan Bomba Majlis Perbandaran Kuala Lumpur sebagai Sub-Oficcer dan dinaikkan pangkat sebagai Station Oficcer pada 1963 dan dihantar berkursus di United Kingdom.

Sepanjang perkhidmatan, beliau menyaksikan perkembangan dan perubahan perkhidmatan kebombaan dari era penjajahan British sebelum penyatuan sehinggalah kepada penyatuan pada 1976.

Di atas kecemerlangan yang ditunjukkan beliau telah dipertanggungjawabkan untuk menubuhkan perkhidmatan bomba di Sabah pada 1968.

Setelah 30 tahun menabur bakti di dalam perkhidmatan bomba, akhirnya beliau bersara daripada perkhidmatan sebagai Timbalan Ketua Pengarah pada 1988. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini