Jika kebanyakan selebriti lain dilihat tiada masalah untuk berkongsi gambar bahagia bersama pasangan masing-masing dalam laman sosial, lain pula halnya dengan penyanyi dan pelakon Hazama.
Selepas dua tahun berkahwin dengan pemuzik, Genervie Kam, Hazama atau nama sebenarnya, Hazama Ahmad Azmi, 35, dilihat begitu jarang berkongsi gambar mesra dan bahagianya bersama isteri dalam laman sosial.
Meskipun jarang berkongsi gambar bahagia dalam laman sosial tidak bermakna rumah tangga yang dibina pada 15 Januari 2017 itu bermasalah.
Jelas Hazama, dia sengaja memilih untuk tidak menayang bahagia dalam laman sosial kerana sedar bukan semua orang suka melihat kebahagiaan orang lain.
Memadai baginya khalayak tahu dia telah berumah tangga. Selain itu, Hazama turut berkongsi tentang impian untuk memiliki cahaya mata dan filem terbaharu lakonannya berjudul Tiada Tajuk arahan Mawi yang akan mula ditayangkan di pawagam pada 4 April depan.
KOSMO!: Apakah reaksi Hazama apabila Mawi mengumumkan Tiada Tajuk sebagai judul filem pertama arahannya?
Hazama: Memang terkejut kerana pada fikiran saya mungkin hanya gimik pemasaran dan akan ada judul lain. Namun, selepas diterangkan sebab Mawi memilih Tiada Tajuk sebagai judul filem, saya menerimanya dengan terbuka. Mungkin itu merupakan cara Mawi untuk menghargai peminat.
Apakah cabaran yang dihadapi anda sepanjang penggambaran filem Tiada Tajuk?
Cabaran terbesar saya adalah memahami kehendak Mawi sebagai pengarah. Watak sebagai Abadi bagi saya cukup unik kerana dia boleh bercakap dengan alam semula jadi dan haiwan. Selain itu, saya juga terpaksa mengorbankan rambut demi watak lakonan saya itu. Keputusan untuk membotakkan rambut agak berat, tetapi dilakukan demi mengikut kehendak pengarah.
Sejak kebelakangan ini mengapa anda lebih aktif sebagai pelakon berbanding penyanyi?
Mungkin sudah rezeki. Sepanjang tahun lalu memang saya sibuk dengan lakonan. Selain terlibat dengan drama Ammar & Opie, saya juga menjalani penggambaran filem Tiada Tajuk dan Rock 4. Oleh kerana sibuk berlakon, karier nyanyian tergendala, termasuklah pembikinan album terbaharu yang harus dirombak semula selepas sekian lama tertangguh.
Mengapakah perlu merombak semula album terbaharu?
Album tersebut yang mengandungi sembilan buah lagu sebenarnya telah hampir siap, tetapi disebabkan kesibukan saya dalam bidang lakonan, kerja-kerja muzik tertangguh. Dalam diam sudah bertahun-tahun, jadi lagu yang dirakam harus dirombak daripada segi susunan muzik supaya sesuai dengan selera pendengar masa kini. Insya-Allah jika tiada aral album terbaharu akan dikeluarkan pada tahun ini. Selain itu, saya akan muncul dengan single berjudul Peneman ciptaan Tam Spider yang akan menjadi runut bunyi sebuah drama terbitan Datuk Rosyam Nor.
Selepas dua tahun berkahwin, mengapa anda jarang dilihat memuat naik gambar bersama isteri dalam laman sosial?
Saya memilih untuk tidak tayang kemesraan dan bahagia bersama isteri dalam laman sosial. Tidak muat naik gambar bersama isteri, tidak bermakna kami tidak bahagia atau bermasalah. Saya lebih selesa begitu kerana mahu menikmati momen bahagia tersebut secara eksklusif.
Mungkin ada sebarang kebimbangan di hati anda jika menayangkan bahagia dalam laman sosial?
Saya sedar bukan semua pengikut dalam laman sosial suka melihat kebahagiaan yang ditayangkan. Jadi, untuk mengelak orang berasa dengki atau cemburu lebih baik tidak terlalu menayangkan kehidupan peribadi pada mata umum. Cuma saya membuat pengecualian untuk memuat naik gambar bersamanya pada tarikh istimewa seperti ulang tahun perkahwinan atau hari lahir. Jika ada peminat yang mahu melihat wajah isteri saya, sila layari akaun Instagram miliknya.
Adakah anda sudah bersedia untuk menimang cahaya mata?
Sudah lama saya bersedia dan berusaha, cuma belum ada rezeki. Saya selalu berdoa, andai kami sudah layak untuk menjadi ibu bapa berilah rezeki anak, tetapi jangan beri jika kami belum bersedia untuk memikul tanggungjawab tersebut. Saya yakin tentang perancangan Allah.










