PARIS 5 MAC – DANI Alves secara berseloroh menyifatkan Paris Saint-Germain (PSG) masih lagi ‘dara’ di pentas Liga Juara-Juara, tetapi, barisan pemain handalan yang dimiliki kelab itu termasuk bintang antarabangsa Brazil tersebut berupaya meletakkan mereka sebagai pilihan mendakap trofi berprestij itu.

Sepanjang kariernya yang gilang-gemilang, Alves telah merasai kenikmatan merangkul gelaran Liga Juara-Juara sebanyak tiga kali bersama Barcelona dan mara ke pentas akhir bersama Juventus. Dia kini bergelar pemain veteran dan sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-36, jatuh hanya beberapa seminggu sebelum perlawanan akhir Liga Juara-Juara, musim ini.
Alves sedar, sebagai pemain veteran, seperti mana penjaga gol Gianluigi Buffon, yang berusia 41 tahun, boleh membantu PSG dengan pengalaman yang mereka ada, walaupun kelab itu memiliki bintang handalan seperti Neymar dan Kylian Mbappe.
“Kami tahu cara untuk menang dan bagaimana untuk kalah. Apa yang boleh kami lakukan ialah sama ada membantu pasukan menuju ke arah matlamat yang sama atau membiarkan pintu terbuka untuk kekalahan,” kata Alves kepada AFP dalam satu temubual eksklusif.
Alves berkata demikian di pangkalan latihan pasukan menjelang aksi kedua peringkat 16 terbaik menentang Manchester United di laman sendiri, esok (awal pagi Khamis waktu Malaysia).
Suasana tenang pada sesi latihan PSG di Paris dengan berbekalkan keyakinan tinggi setelah skuad bimbingan Thomas Tuchel itu meraih bekalan selesa 2-0 dalam timbal balik pertama, bulan lalu. Mereka mencatat kemenangan itu tanpa kelibat Neymar dan Edinson Cavani yang ditimpa kecederaan.
“Ini bukan pertandingan yang hanya bersandarkan kepada seorang pemain. Apabila anda mempunyai pemain berpengalaman, anda tidak mudah gementar walaupun terpaksa beraksi dalam suasana tegang atau di bawah tekanan,” ujarnya. – AFP











