PUTRAJAYA 5 MAC – MALAYSIA dan Brunei mengesahkan komitmen untuk terus meningkatkan kerjasama dalam bidang-bidang berkepentingan bersama demi kepentingan rakyat kedua-dua negara.
Komitmen itu dinyatakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dalam satu kenyataan bersama hari ini selepas majlis Perundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei Ke-22 di sini.
Menurut kenyataan itu, kedua-dua pemimpin berpuas hati dengan usaha berterusan yang dibuat bagi meningkatkan hubungan akrab sedia terjalin sejak pertemuan terakhir mereka semasa lawatan Dr. Mahathir ke Brunei pada 2-3 September 2018.
“Kedua-dua pemimpin menegaskan pentingnya hubungan dua hala dipertingkat melalui dialog dan kesefahaman antara kedua-dua negara. Mereka juga berpuas hati terhadap perkembangan positif hubungan sedia ada dan bersetuju momentum berkenaan perlu dikekalkan,” kata kenyataan itu.
Jelas kenyataan itu, Dr. Mahathir dan Sultan Hassanal Bolkiah turut berpuas hati dalam beberapa perkara antaranya, kemajuan dicapai Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) dengan Syarikat Petroleum Nasional Brunei (PetroleumBRUNEI) dalam Kawasan Aturan Komersial (CAA) dan Perjanjian Perkongsian Pengeluaran (PSA).
Perkara lain membabitkan kerjasama dalam perdagangan dan pelaburan terutama di Sabah dan Sarawak, pengangkutan, infokomunikasi, tenaga, pelancongan, pertanian, ternakan, perikanan, belia serta ketenteraan.
Jelasnya, kedua-dua pemimpin turut bersetuju untuk tidak melakukan apa-apa aktiviti di kawasan di mana penandaan dan kaji selidik bersama belum selesai.
Kedua-dua pemimpin juga menggalakkan para pegawai meneroka kerjasama lebih inovatif dalam bidang maritim, perikanan, imigresen dan Program Pengembaraan Berkala Brunei-Malaysia (BMFTP) untuk memudahkan pergerakan antara rakyat kedua-dua negara.
Dr. Mahathir turut mengucapkan tahniah kepada Brunei yang menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-35 pada 23 Februari lalu, serta mengalu-alukan penyertaan pegawai-pegawai tertinggi negara itu dalam Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA 19) pada 26-30 Mac ini.
Sultan Brunei pula menyampaikan ucapan tahniah kepada Malaysia di atas pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.










